KPKT lulus peruntukan RM23 juta naik taraf infrastruktur Johor

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming beramah mesra bersama sebahagian peniaga di Anjung Selera Laman Tasik Pandan ketika meninjau keperluan kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih infrastruktur sempena lawatan kerjanya di kawasan tersebut. - Foto Bernama.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming beramah mesra bersama sebahagian peniaga di Anjung Selera Laman Tasik Pandan ketika meninjau keperluan kerja-kerja menaik taraf dan baik pulih infrastruktur sempena lawatan kerjanya di kawasan tersebut. - Foto Bernama.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Peruntukan sebanyak RM23 juta diluluskan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menaik taraf infrastruktur awam di negeri ini, pada tahun ini.

Menterinya Nga Kor Ming berkata, peruntukan itu merupakan tambahan kepada RM21.7 juta yang diluluskan bagi projek pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) Johor yang diumumkan sebelum ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.3 juta disalurkan kepada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi penyelenggaraan dua lot niaga awam iaitu Anjung Selera Laman Tasik Pandan dan Gerai Jalan Biru.

"Ia bagi kerja menaik taraf unit gerai, tandas, bumbung, sistem perparitan termasuk memasang perangkap minyak, pemasangan sistem solar, kerja perpaipan, pendawaian baharu, menurap jalan dan tempat parkir kereta bagi keselesaan pengunjung," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media lawatan kerja di Anjung Selera Laman Tasik Pandan, di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman.

Menurut Kor Ming, KPKT turut memperuntukkan RM8.5 juta kepada Johor bagi penyelenggaraan 28 kolam takungan air bagi memastikan air hujan yang turun tidak menyebabkan banjir kilat.

"Ia membabitkan 10 kolam takungan air (Muar ), Kota Tinggi (enam), Mersing (empat), Batu Pahat dan Kulai (dua) manakala Johor Bahru, Iskandar Puteri dan Pengerang pula masing-masing satu," katanya.

Dalam lawatan kerja sehari ke Johor itu, Kor Ming turut dijadualkan menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada sebelah tengah hari bagi menyembah maklum mengenai kerja naik taraf infrastruktur awam di negeri ini.

Kor Ming menambah, KPKT turut meluluskan sebanyak RM13.3 juta kepada 16 PBT Johor bagi melaksanakan 35 projek naik taraf pelbagai kemudahan awam.

"Peruntukan yang disalurkan berlandaskan pelaksanaan atau 'performance based budget' bagi mengelakkan ketirisan dana awam

"Penyaluran peruntukan juga diagih mengikut keperluan menerusi inisiatif sentuhan kasih KPKT dalam memastikan keselesaan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," katanya.