Segera naik taraf hospital tua

Paling tragis adalah kejadian pada Oktober 2016, apabila unit rawatan rapi (ICU) HSA terbakar sehingga mengorbankan enam nyawa.
Paling tragis adalah kejadian pada Oktober 2016, apabila unit rawatan rapi (ICU) HSA terbakar sehingga mengorbankan enam nyawa.
A
A
A

Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor terbakar lagi! Itu antara tajuk berita banyak media kelmarin.

Menjadi satu-satunya hospital kerajaan dengan binaan unik bata berwarna merah, hakikatnya itu bukanlah kali pertama hospital tersebut terbakar.

Paling tragis adalah kejadian pada Oktober 2016, apabila unit rawatan rapi (ICU) HSA terbakar sehingga mengorbankan enam nyawa.

Namun agak mengejutkan apabila difahamkan selepas tempoh hampir empat tahun itu, tiada sebarang naik taraf dilakukan di HSA yang mempunyai sejarah panjang dalam sektor kesihatan di negeri Johor.

Perkara itu didedahkan sendiri Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang beranggapan kegagalan membina hospital baharu atau menaik taraf HSA seolah-olah kerajaan Persekutuan menganaktirikan negeri itu.

Mungkin dukacita dengan kelewatan memberi nafas baharu kepada HSA, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sendiri semalam mengumumkan untuk membiayai kos membaik pulih wad HSA yang terbakar.

Hakikatnya, HSA merupakan antara puluhan hospital yang boleh dianggap ‘hospital tua’ di negara ini.

Sebelum ini difahamkan susulan beberapa insiden kebakaran di hospital-hospital tua, kerajaan pada tahun 2017 sudah mengumumkan projek naik taraf sistem pendawaian elektrik 50 hospital kerajaan melibatkan kos antara RM500 juta hingga RM600 juta.

Artikel Berkaitan:

Antara hospital lama yang terlibat ialah hospital yang berusia lebih 100 tahun iaitu HSA di Johor; Hospital Batu Gajah, Perak; Hospital Kuala Lumpur; Hospital Balik Pulau, Pulau Pinang dan Hospital Pulau Pinang.

Namun, dengan insiden-insiden kebakaran masih berlaku di hospital, persoalannya adakah projek naik taraf pendawaian elektrik itu berjalan lancar seperti yang diumumkan.

Malah, adakah usaha naik taraf tersebut sekadar memberi fokus kepada sistem pendawaian tanpa melihat dari segi lain seperti keselamatan bangunan dan fasiliti serta kemudahan pesakit.

Kita tidak mahu seperti kata pepatah sudah terhantuk baru terngadah. Insiden-insiden kebakaran di hospital apatah lagi yang meragut nyawa tidak wajar kembali berulang.