X

Kindly register in order to view this article
!

'Manifesto bukan kitab suci, hanya janji mainan politik'

Mohammad Tawfik
A
A

SHAH ALAM - Manifesto bukan kitab suci seperti dianggap sesetengah pihak sebaliknya ia adalah mainan politik.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, dalam konteks akademik, manifesto merupakan satu set dokumen bersifat dasar yang cuba untuk dipasarkan ideanya.

Beliau berkata, manifesto juga salah satu daripada 'kerja keras' orang politik yang perlu diakui semua pihak bertujuan untuk mendapatkan kuasa.

"Manifesto juga tidak bersifat undang-undang dan di mana-mana di seluruh dunia sekalipun, selagi ia tidak menyalahi Perlembagaan, tidak boleh didakwa kerana ia tidak mengikat.

"Ia hanya sekadar janji dan hukuman bukan di mahkamah tetapi di dalam pilihan raya malah harus dibezakan dengan undang-undang," katanya pada Wacana Sinar ke-175 bertajuk Tanpa Manifesto: Apa Jadi Taruhan? di Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi.

Turut menjadi panel pada Wacana Sinar kali ini adalah Naib Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sangetha Jayakumar dan Exco Puteri UMNO, Fadwah Anuwar manakala Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Dalam pada itu, Mohammad Tawfik berkata, manifesto di Malaysia hari ini berlaku dalam dua konteks iaitu pertama memperkenalkan manifesto dan kemudian melaksanakannya dan kedua, melaksanakan dahulu sebelum memperkenalkan manifesto dibawa.

"Sebagai contoh, sewaktu kerajaan PH (Pakatan Harapan), mereka mengambil pendekatan memperkenalkan atau mempromosikan dahulu manifesto mereka sebelum masuk PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14) namun apabila hendak melaksanakan manifesto, mereka menemui jalan buntu.

"Dalam konteks kerajaan Perikatan Nasional (PN) pula, mereka bertindak sebaliknya iaitu melaksanakan dahulu kemudian baharu mempromosikannya. Inilah manifesto yang kita cuba tunjuk kepada rakyat Malaysia," katanya.

Wacana Sinar ke-175 bertajuk Tanpa Manifesto: Apa Jadi Taruhan? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD IZARI ROSLI
Wacana Sinar ke-175 bertajuk Tanpa Manifesto: Apa Jadi Taruhan? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di sini malam tadi. - FOTO SINAR HARIAN/MOHD IZARI ROSLI

Mohammad Tawfik berkata, dalam konteks hari ini rakyat sudah matang untuk menentukan mana yang betul atau tidak.

"Jika kita cuba tekan rakyat untuk menerima manifesto atau dasar yang sebenarnya tidak realistik, akhirnya mereka boleh menentukan siapa yang patut memerintah.

"Justeru, ahli politik pada hari ini perlu beretika dan bijak menawan hati rakyat tetapi bukan melalui manifesto kerana ia sukar malah contoh jelas sudah ditunjukkan PH apabila mereka gagal melaksanakan apa yang dijanji," katanya.

Bagaimanapun katanya, pasti terdapat punca mengapa PH gagal melaksanakan manifesto mereka tetapi jika hendak difikirkan pasti mengambil masa yang panjang.

"Sebelum kerajaan PH dibentuk, kerajaan terdahulu adalah BN (Barisan Nasional). Kemudian beberapa menteri keluar dari BN dan masuk ke dalam PH terutamanya parti Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), yang memang tahu selok-belok kerajaan tapi masih berlaku kegagalan manifesto.

"Sumber ada, data ada malah menteri yang ada sewaktu PH mentadbir turut ada semasa kerajaan BN memerintah dahulu. Tapi nak merangka manifesto tetap sukar," katanya.

Katanya, ambil contoh di Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum pilihan raya janji untuk bina tembok menghalang Mexico dan AS tetapi apabila menjadi kerajaan susah untuk beliau laksanakan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!