Pembukaan semula sekolah esok tertakluk kepada SOP

Noor Hisham
Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembukaan semula sekolah bermula esok tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, garis panduan tersebut telah dibangunkan hasil kerjasama pelbagai pihak dengan mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan pelajar serta kakitangan sekolah.

Menurutnya, antara langkah-langkah pencegahan yang termasuk dalam garis panduan adalah pemeriksaan suhu di pintu masuk sekolah.

"Ia dilakukan terhadap pelajar, kakitangan dan individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah.

"Individu yang mencatatkan suhu badan melebihi 37.5⁰C atau bergejala tidak akan dibenarkan memasuki kawasan sekolah," katanya.

Beliau berkata, pelajar diingatkan supaya sentiasa menjaga kebersihan diri terutamanya amalan mencuci tangan dengan kerap sepanjang waktu di sekolah.

"Penjarakkan sosial diamalkan di kelas, di mana meja disusun pada jarak satu meter.

"Kapasiti maksimum sebuah kelas tidak melebihi 20 murid manakala di luar kelas ia bergantung kepada keluasan ruang tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, waktu rehat dijalankan secara berperingkat dan pelajar dikehendaki beratur mengikut tanda penjarakkan semasa membeli makanan di kantin.

"Aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan, kokurikulum secara bersemuka dan perhimpunan sekolah belum boleh dilaksanakan lagi," katanya.

Sehubungan itu katanya, pelajar yang akan kembali ke sekolah akan lebih yakin untuk berbuat demikian tanpa sebarang keraguan dan kerisauan.

"Ibu bapa juga diingatkan supaya memastikan anak-anak mereka sentiasa mematuhi garis panduan yang ditetapkan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, seramai 1,712 remaja berumur 18 tahun dan ke bawah telah dijangkiti Covid-19 di negara ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 346 kes adalah dalam lingkungan 16 sehingga 18 tahun," katanya.

Walau bagaimanapun, katanya, tiada kes kematian atau kes di unit rawatan rapi (ICU) yang dilaporkan melibatkan kumpulan umur berkenaan.

"Ia menunjukkan bahawa kes Covid-19 dalam kumpulan umur ini mempunyai kadar penyembuhan yang lebih baik," katanya.