Bukan pemandu mabuk tapi elak haiwan..

Anggota bomba memadam kebakaran kereta yang berlaku pada awal pagi Jumaat lalu.
Anggota bomba memadam kebakaran kereta yang berlaku pada awal pagi Jumaat lalu.
A
A
A

TASEK GELUGOR - Polis menafikan kemalangan melibatkan pasangan kembar di Jalan Ara Kuda di sini Khamis lalu disebabkan oleh pemandu mabuk seperti yang tular di laman sosial sejak malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kejadian yang berlaku pada jam 9.50 malam itu dikatakan berlaku selepas pemandu kereta berusia 56 tahun terbabas selepas mengelak haiwan melintas.

Akibat kejadian itu, wanita berkenaan yang juga pekebun sayur dikatakan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan dua buah motosikal yang ditunggang pasangan kembar, Muhd Asri Roslan dan Muhd Azri Roslan, 14.

"Ketika kejadian wanita itu dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bumbong Lima, Kepala Batas selepas menghantar sayur.

"Kenderaan wanita itu terbabas kerana mengelak haiwan sebelum dua motosikal yang dinaiki adik-beradik kembar melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta menyebabkan mereka tercampak ke atas jalan raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Noorzainy berkata, dua remaja terbabit yang mengalami kecederaan telah dihantar ke Hospital Bukit Mertajam sebelum mereka dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut selepas mengalami patah kaki serta kecederaan lain di bahagian badan.

Keadaan kereta milik pekebun sayur yang dibakar
Keadaan kereta milik pekebun sayur yang dibakar

Katanya, selepas kemalangan wanita berkenaan telah membuat laporan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU dan ujian saringan pernafasan yang dilakukan mendapati wanita itu tidak berada di bawah pengaruh alkohol.

Artikel Berkaitan:

"Ketika siasatan di lokasi mendapati tiada kebakaran berlaku pada kenderaan terlibat tetapi anggota bomba Tasek Gelugor dikatakan menerima panggilan kebakaran kira-kira jam 2 pagi melibatkan kereta wanita itu.

"Kita percaya berita kemalangan itu ditularkan di media sosial dengan dakwaan wanita itu memandu dalam keadaan mabuk sehingga menimbulkan kemarahan penduduk kampung yang kemudiannya bertindak membakar kereta wanita berkenaan," katanya.

Noorzainy berkata, perbuatan membakar kereta itu satu tindakan khianat dan disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan sementara kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri sebaliknya perlu menghubungi polis untuk tindakan lanjut.