Pemandu rempuh 6 penunggang motosikal dibebaskan jaminan polis

Mohamad Fakhrudin
Mohamad Fakhrudin
A
A
A

PETALING JAYA - Pemandu kereta yang merempuh enam penunggang motosikal yang sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat di Kilometer 19.6 Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, Ahad, dibebaskan dengan jaminan polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 26 tahun itu kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital akibat kemalangan terbabit.

"Pemandu itu telah ditahan semalam (Ahad), namun kita telah beri jaminan polis hari ini kerana dia mengalami kecederaan patah bahu akibat kemalangan tersebut dan sedang menerima rawatan di hospital," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Pada Ahad, media melaporkan tiga penunggang motosikal maut manakala tiga lagi cedera, seorang daripadanya parah, dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu pemandu mabuk yang terbabas ketika mereka mereka berteduh di bawah jejambat.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 5.59 pagi ketika pemandu kereta terbabit dalam perjalanan dari ibu negara ke Cyberjaya.

Mohamad Fakhrudin dilaporkan berkata, setibanya di lokasi kemalangan, kereta yang dipandu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar enam penunggang motosikal.

Kesemua mangsa lelaki berusia antara 19 hingga 37 tahun dihantar ke Hospital Sungai Buloh.

Menurutnya, hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam tubuh pemandu kereta berkenaan adalah melebihi had yang dibenarkan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang ramai yang melihat atau berada di tempat kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 bagi membantu siasatan.