X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

Henti tular dakwa pemandu kereta larikan diri

Nurulhuda menunjukkan hantaran yang tular di media sosial Facebook mendakwa pemandu kereta melarikan diri selepas melanggar seorang kanak-kanak.
A
A

KLANG - Polis meminta orang ramai menghentikan penyebaran maklumat yang mendakwa seorang pemandu kereta melarikan diri selepas melanggar seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Taman Sri Pekan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, pemandu terbabit tidak melarikan diri sebaliknya tampil melaporkan kejadian ke balai polis kira-kira 15 selepas kejadian.

Mengulas mengenai kejadian tersebut beliau berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang melibatkan seorang lelaki berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Perodua Myvi.

"Semasa melalui lokasi kejadian, mangsa gagal mengelak dan telah melanggar kanak-kanak terbabit yang keluar dari rumahnya.

"Kanak-kanak lelaki itu telah mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum menerima tujuh jahitan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan dilaporkan stabil," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menerima laporan daripada pemandu berkenaan kira-kira jam 3.15 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, polis meminta masyarakat berhenti menyebarkan dakwaan yang tular kononnya pemandu terbabit telah melarikan diri kerana ia boleh menimbulkan isu perkauman.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti individu yang menularkan kejadian terbabit.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!