Banjir kilat: MBSA kenal pasti kawasan sesuai bina kolam takungan

Laporan Sinar Harian berhubung kejadian banjir kilat baru-baru ini.
Laporan Sinar Harian berhubung kejadian banjir kilat baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang mengenalpasti kawasan sesuai bagi pembinaan kolam takungan untuk mengatasi masalah banjir kilat di Kampung Melayu Subang di sini.

Datuk Bandar Shah Alam, Ir Cheremi Tarman memaklumkan, pemilihan lokasi bagi tujuan pembinaan kolam takungan itu masih dalam perbincangan dan akan diputuskan kemudian.

"Kalau boleh usaha kita ini tidak melibatkan pengambilalihan tanah dan mencari kawasan sesuai untuk tujuan itu dan itu maklumat yang kita ada sekarang.

"Perinciannya masih belum dibincangkan lagi dan kalau boleh kita elak (melibatkan kawasan rumah penduduk)," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Aidilfitri MBSA di Pusat Konvensyen MBSA, di sini pada Selasa.

Ujarnya, MBSA akan mendapatkan penyelarasan dengan pihak terlibat serta mencari lokasi sesuai dengan mengambil kira semua aspek, termasuk pengiraan berapa besar, luas dan dalam kolam takungan itu.

Cheremi (kanan) bersalaman dengan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang hadir pada Majlis Jamuan Aidilfitri MBSA.
Cheremi (kanan) bersalaman dengan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim yang hadir pada Majlis Jamuan Aidilfitri MBSA.

Pada 16 April lalu, paras air di Kampung Melayu Subang dilaporkan naik ekoran hujan lebat yang berlaku di kawasan berkenaan bermula sejak jam 5 petang.

Menerusi beberapa keping gambar yang dimuat naik di Facebook, beberapa laluan utama di kawasan ini terputus susulan limpahan air dari sungai berdekatan menyebabkan beberapa kediaman turut dinaiki air.

Artikel Berkaitan:

Turut kelihatan sebuah kereta jenis Axia hampir tenggelam akibat paras air yang semakin meningkat.

Difahamkan ibu bapa juga terperangkap dan tidak dapat mengambil anak-anak yang pulang dari sekolah ekoran jalan raya terhalang.

Antara lokasi yang difahamkan terlibat setakat ini adalah Pekan Subang, Lorong Haji Misbah, Jalan Merbau dan lain-lain lokasi berhampiran.

Cheremi (tengah) meraikan tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Aidilfitri MBSA di Pusat Konvensyen MBSA, pada Selasa.
Cheremi (tengah) meraikan tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Aidilfitri MBSA di Pusat Konvensyen MBSA, pada Selasa.

Cheremi menambah, beliau difahamkan bahawa isu sebenar banjir kilat berlaku di Kampung Melayu Subang adalah berpunca dari limpahan air sungai berhampiran.

"Saya turut difahamkan ada cadangan menaiktaraf sungai tersebut oleh Jabatan Pengairan Saliran dan ia sedang dilaksanakan namun belum siap sepenuhnya.

"Selain itu, longkang dalaman juga akan kita tengok kerana ada sesetengahnya tiada sambungan antara satu sama lain dan kita akan bekerjasama dengan semua pihak terlibat bagi memastikan masalah ini dapat diatasi," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!