DBKL pantau penjaja ala Bombay

Laporan Sinar Harian pada Jumaat lalu.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasukan anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan pemantauan bagi mengesan kegiatan warga asing yang menjalankan perniagaan ala Bombay berhampiran Masjid Al-Bukhary, Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur sejurus penularan video itu, Jumaat lalu.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, pemantauan mendapati penjaja warga asing berkenaan tidak berada di tapak semasa pemeriksaan dijalankan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, aktiviti itu hanya dijalankan di lokasi berkenaan selepas solat Jumaat.

"Sehubungan dengan itu, DBKL akan melaksanakan pemantauan berkala di lokasi berkenaan serta mengambil tindakan susulan sekiranya didapati penjaja warga asing masih menjalankan aktiviti penjajaan di lokasi tersebut," katanya menerusi kenyataan.

Pada Jumaat Sinar Harian melaporkan artikel bertajuk 'Penjaja ala Bombay di KL, netizen persoal mana penguat kuasa' selepas tular video tersebut di media sosial.

Tidak cukup meja, kelihatan penjaja tersebut turut menggunakan sebuah troli pasar raya untuk meletakkan jualannya yang mendapat sambutan dalam kalangan rakan-rakan senegaranya.

Penularan video tersebut mengundang reaksi pengguna media sosial yang kurang senang akan kelemahan sistem penguatkuasaan yang dilihat seolah terlepas pandang terhadap aktiviti penjajaan itu.

Menerusi kenyataan sama, DBKL berkata, pihaknya sentiasa memantau dan mengambil tindakan segera sekiranya menerima maklumat orang ramai atau terserempak dengan penjaja warga asing yang menjalankan aktiviti penjajaan di mana-mana lokasi di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat kepada pihak DBKL menerusi pautan laman sesawang(adu@KL) iaitu https://adukl.dbkl.gov.my.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!