Polis kesan pemandu paut kanak-kanak di pintu pikap

Video tular memaparkan seorang kanak-kanak dipaut pemandu pacuan empat roda.
Video tular memaparkan seorang kanak-kanak dipaut pemandu pacuan empat roda.
A
A
A

GOMBAK - Polis sedang mengesan pemilik pacuan empat roda jenis Nissan Navara yang disyaki memandu secara cuai sehingga mendedahkan seorang kanak-kanak kepada bahaya di jalan raya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya telah mengesan satu rakaman video tular berdurasi 12 saat yang dimuat naik memaparkan mengenai kejadian.

"Video tersebut memaparkan pemandu itu memaut seorang kanak-kanak menggunakan tangan kanan di sebelah pintu pemandu ketika kenderaan sedang bergerak," katanya dalam kenyataan pada Khamis

Noor Ariffin berkata, hasil siasatan awal yang dijalankan, kejadian tersebut berlaku di Taman Industri Bolton, Batu Caves, di sini.

"Kita sedang mengesan pemilik akaun media sosial yang memuat naik video tular itu dan pemilik kenderaan yang terlibat bagi membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil atau menghubungi pegawai penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222," katanya.