Kadar baharu khairat kematian di Kedah, RM300

Muhammad Sanusi (tengah) bersama barisan Exco Kedah pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi (tengah) bersama barisan Exco Kedah pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri bersetuju menaikkan kadar khairat kematian sebanyak RM50 untuk rakyat Kedah berkuatkuasa pada Februari depan.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor berkata, kadar khairat kematian berkenaan dinaikkan sebanyak RM50 untuk membantu penduduk iaitu kadar khairat kematian ditetapkan sebelum ini adalah RM250 sebelum dinaikkan kepada kadar baharu, iaitu RM300.

"Jadi, pemberian khairat kematian sebanyak RM300 akan diuruskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebelum dihantar ke Pejabat Menteri Besar Kedah untuk proses kelulusan.

"Kita akan menyegerakan pembayaran khairat kematian dengan menyalurkan peruntukan sebanyak RM10,000 kepada pusat khidmat DUN," katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Katanya, peruntukan khairat kematian untuk kawasan pembangkang akan disalurkan kepada Penyelaras DUN terdiri daripada wakil pelbagai parti politik.

"Apabila wang peruntukan khairat kematian telah digunakan sebanyak 50 peratus, kita akan tambah bagi membolehkan pembayaran segera dilakukan kepada keluarga si mati," kata beliau.

Menurutnya, pihaknya berharap wang berkenaan dapat disalurkan segera seboleh-bolehnya pada hari pengebumian bagi membantu keluarga berkenaan.

Dalam perkembangan sama, katanya, kerajaan negeri turut meluluskan pelantikan seluruh ahli majlis kerajaan tempatan melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kedah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, majlis angkat sumpah di semua PBT berkenaan akan dilakukan dengan seberapa segera untuk membolehkan aktiviti bergerak berdasarkan undang-undang.

Dalam perkembangan lain, katanya, kerajaan negeri bersedia menerima pakai semua operasi prosedur standard (SOP) diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

"Ia termasuk membuka seluas-luasnya sektor ekonomi dan pusat rekreasi taman awam kecuali taman permainan kanak-kanak serta taman tema air," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, bagaimanapun pihaknya masih menangguhkan pembukaan dan tidak membenarkan Kolam Air Panas Ulu Lenggong, Baling beroperasi disebabkan beberapa faktor termasuk keadaan air tidak mengalir.