Nufam persoal kebenaran MOT

Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam)
Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) mempersoalkan keputusan Kementerian Pengangkutan membenarkan syarikat penerbangan beroperasi dengan kapasiti penuh bermula hari ini.

Sekretariat Nufam dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bimbang dengan kebenaran terbaharu oleh kementerian itu kerana dilihat seolah-olah mengenepikan prosedur operasi standard (SOP) amalan penjarakan sosial yang diguna pakai untuk penumpang menaiki pesawat.

Menurutnya, kementerian itu mengeluarkan sepucuk surat kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini, menggesa pihak berkuasa itu mengenepikan arahan SOP penjarakan tempat duduk penumpang yang terpakai bagi membendung wabak koronavirus (Covid-19) sebelum ini.

"Persoalannya sekarang adalah adakah kru penerbangan mampu menguruskan tata kelola SOP Covid-19 di atas pesawat dengan kapasiti penumpang 100 peratus?

"SOP diperuntukkan adalah untuk menyelia separuh daripada jumlah penumpang, bukan kapasiti maksimum. Ini akan memberi beban kerja tambahan kepada kru penerbangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Udara dalam pesawat setaraf udara bilik bedah hospital: AirAsia

Sekretariat Nufam turut mempersoalkan tindakan Menteri Pengangkutan yang dilihat bersikap berat sebelah dalam melaksanakan polisi pembendungan Covid-19 bagi menjaga kepentingan syarikat penerbangan tetapi tidak meminta mereka untuk menambah kakitangan.

Menurutnya, aspek kebajikan dan keselamatan kru penerbangan juga perlu diambil kira meskipun mereka akan dibekalkan dengan pelitup muka dan sarung tangan.

"Bagaimana kru penerbangan boleh menjalankan tugas mereka walhal pada masa sama perlu melaksanakan SOP penjarakan sosial? Seolah-olah tanggungjawab itu telah dipindahkan kepada mereka tanpa meminta pandangan mereka.

"Jangan lupa juga negara kita pada ketika ini masih melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di mana SOP penjarakan sosial perlu dipatuhi orang ramai dengan ketat.

Artikel Berkaitan:

"Justeru pada pandangan Nufam, arahan terbaharu ini sama sekali tidak boleh diterima kerana memberi beban dan kerja tambahan kepada kru penerbangan selain merisikokan keselamatan diri mereka," katanya.

Sekretariat Nufam juga menggesa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneliti semula isu dibangkitkan secara serius dengan meletakkan kepentingan keselamatan dan nyawa kru penerbangan dan penumpang melebihi kepentingan perniagaan.

Kesatuan kerja itu turut mendesak Kementerian Pengangkutan untuk mengadakan sesi perbincangan pasca Covid-19 dengan syarikat dan pemain industri penerbangan termasuk Nufam dan pertubuhan berkaitan melalui Majlis Konsultasi Penerbangan Nasional (NACC).

"Kru penerbangan, juruterbang dan jurutera antara mereka yang terjejas dan diberhentikan syarikat-syarikat penerbangan sedangkan mereka kembali untuk menjalani urusan perniagaan seperti sediakala hari ini.

"Dalam tempoh tiga bulan sahaja, ribuan pekerja sektor penerbangan kehilangan kerja dan suara mereka tidak boleh diketepikan dengan kerajaan lebih memihak kepada syarikat penerbangan semata-mata," katanya.