Tujuh empangan Selangor berada dalam kapasiti penuh

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Keseluruhan tujuh empangan di Selangor berada dalam kapasiti penuh setakat Rabu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, empangan di lima daerah itu berfungsi sebagai takungan sumber bekalan air.

Menurutnya, empangan tersebut ialah empangan Sungai Selangor dan Sungai Tinggi di Hulu Selangor; Tasik Subang (Petaling); Sungai Langat dan Semenyih (Hulu Langat); Kolam Off River Storage Labu (Sepang); Klang Gates dan Empangan Batu (Gombak).

"Sehingga 17 Mei 2023, keseluruhan takungan bagi tujuh empangan ini berada pada kapasiti penuh 100 peratus.

"Berdasarkan trend penggunaan air di negeri secara keseluruhan, kapasiti air mentah mampu bertahan selama tempoh empat bulan tanpa hujan," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata demikian susulan fenomena El-Nino yang menyebabkan cuaca panas yang berterusan.

Ujarnya, terdapat 98 kolam yang telah dikenal pasti oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sebagai sumber air alternatif dan simpanan sumber air.

Menurutnya lagi, kolam berkenaan mengandungi sebanyak 34 juta meter padu air.