Kerajaan tidak sedia peruntukan biaya Malaysia Airlines

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini. - Foto Bernama
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak merancang untuk menyediakan peruntukkan bagi membiayai syarikat penerbangan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 termasuk Malaysia Airlines.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan tidak akan terbabit dalam pelan menyelamatkan kerana syarikat penerbangan adalah syarikat komersial.

"Kementerian Kewangan tidak akan terbabit dalam sebarang bailout untuk membantu syarikat penerbangan, tetapi kita akan bantu industri (penerbangan)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan rasmi pertama beliau ke ibu Pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dan Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias.

Mengenai laporan yang mendakwa Khazanah Nasional Bhd akan menyuntik dana RM5 bilion bagi membantu Malaysia Airlines, Tengku Zafrul berkata, sebagai Ahli Lembaga Pengarah Khazanah, perkara itu pertama kali didengari beliau.

"Walaupun saya diberitahu supaya tidak mengulas kepada sebarang spekulasi, tetapi saya ingin memberikan komen jujur bahawa saya tidak pernah mendengar mengenai perkara ini.

"Saya tidak pernah mendengar daripada Lembaga Pengarah Malaysia Airlines dan Khazanah bahawa mereka akan menyuntik dana kepada Malaysia Airlines.

Artikel Berkaitan:

"Jika mereka (Khazanah) hendak melakukannya, itu terpulang kepada mereka," katanya.

Semalam, Malaysia Aviation Group (MAG) menafikan laporan berita antarabangsa mengenai suntikan dana sehingga RM5 bilion daripada sayap pelaburan kerajaan Malaysia, Khazanah.