Pas gesa kerajaan adil agih peruntukan wakil rakyat pembangkang

Laporan Sinar Harian pada Isnin. Khairil Nizam (kanan).
Laporan Sinar Harian pada Isnin. Khairil Nizam (kanan).
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menggesa kerajaan untuk tidak mengetepikan peruntukan wakil rakyat pembangkang demi mengutamakan kepentingan rakyat.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Khairil Nizam Khirudin berkata, ia berikutan daripada titah Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu Sidang Dewan Negeri Pahang bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua yang berlangsung baru-baru ini.

“Baginda menyatakan bahawa dalam tempoh 66 tahun ini, semua pihak sepatutnya matang dan menjadi kerajaan yang meraikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.

“Tindakan mengetepikan peruntukan wakil rakyat pembangkang oleh kerajaan yang diperintah oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim, selama ini hanya mengulangi skrip politik dendam kesumat,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman rasmi Facebook Pas pada Rabu.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Tengku Hassanal menitahkan supaya kerajaan Pahang memberikan peruntukan adil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.

Dalam pada itu, Khairil Nizam berkata, tindakan mengetepikan peruntukan buat wakil rakyat pembangkang amat bertentangan dengan agenda yang pernah Anwar perjuangkan semasa menjadi ketua pembangkang.

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, perkara tersebut perlu diberi keutamaan demi kepentingan rakyat dan bukan untuk ‘survival’ politik yang menafikan hak wakil rakyat pembangkang.

Tambah beliau, peruntukan juga perlu diberikan tanpa syarat dan menghormati pilihan rakyat.