KKM sedia SOP untuk pesakit Covid-19 keluar mengundi

Dr Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama agensi berkaitan akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk membolehkan individu yang dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19) mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang yang dijadual 4 Julai ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, SOP yang akan diwujudkan itu tidak terpakai kepada pesakit yang berada di dalam wad dan berstatus tenat.

"Kita akan lihat daripada senarai kes (pesakit Covid-19) yang dikuarantin ataupun mereka yang dimasukkan ke wad.

"Tapi kalau pesakit yang tenat contohnya, jadi mungkin mereka tidak dibenarkan untuk keluar daripada wad untuk melaksanakan tugas mereka untuk mengundi.

"KKM akan adakan SOP yang diteliti oleh pelbagai agensi sebelum boleh dilaksanakan bersama (benarkan pesakit Covid-19 mengundi)," katanya pada sidang media situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membenarkan pengundi yang dijangkiti Covid-19, bergejala atau sedang dikuarantin atas sebab penyakit itu mengundi dalam PRK DUN Chini.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun dalam wawancara khas bersama Sinar Harian semalam berkata, kebenaran SPR bagaimanapun tertakluk kepada kebenaran daripada KKM untuk golongan berkenaan keluar dari pusat kuarantin bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.

Bagi tujuan itu, Azhar Azizan menegaskan SPR akan mewujudkan satu khemah khas di setiap pusat mengundi di mana petugas di dalam khemah itu akan memakai set lengkap peralatan pelindung diri (PPE).

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Positif Covid-19 boleh mengundi