Suhaizan yakin menang jika lebih 70 peratus keluar mengundi

Suhaizan - Foto Bernama
Suhaizan - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bakal calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat yakin dapat menawan kerusi itu sekiranya peratusan yang keluar mengundi adalah melebihi 70 peratus.

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor itu berkata, peratusan keluar mengundi yang kurang daripada jumlah tersebut akan menjadi cabaran paling besar yang perlu dihadapi Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun, Naib Pengerusi Amanah Johor itu berkata, parti-parti gabungan PH akan membantu dalam berkempen dan mencari langkah untuk mengajak orang ramai menunaikan tanggungjawab mereka pada 9 September nanti.

"Jumlah keluar mengundi akan menjadi antara cabaran besar untuk kita, saya yakin kita akan berpeluang menang sekiranya peratusan keluar mengundi lebih daripada 70 peratus.

"Saya telah menumpukan kepada kawasan Pulai sejak dahulu lagi dan telah ada keserasian selain membantu masyarakat di situ. Respons masyarakat ketika ini saya lihat adalah baik, jadi harap rakyat dapat memilih calon terbaik,” katanya pada sidang media selepas bertemu komuniti India di Kuil Arulmigu Raja Mariamman di sini pada Rabu.

Suhaizan berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran besar yang perlu dihadapi pada PRK Parlimen Pulai.

Pada masa sama, Ketua Amanah Kawasan Pulai sejak 2015 itu berkata, beliau sudah berjumpa dengan Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini dan meminta bantuannya untuk turut sama berkempen sekali gus menggerakkan 18,000 ahli UMNO di kawasan tersebut.

Ditanya mengenai calon Perikatan Nasional iaitu Zulkifli Jaafar, Suhaizan berkata, beliau tidak mahu memperkecilkan lawannya meskipun tidak mengenali Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pulai itu secara peribadi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beliau menghormati Zulkifli dan berharap mereka dapat bersaing secara baik.

PRK itu dilaksanakan susulan kekosongan luar jangka kerusi Parlimen P161 Pulai dan DUN N13 Simpang Jeram berikutan kematian penyandangnya Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon pada 26 Ogos depan, pengundian awal pada 5 Sept manakala 9 September sebagai hari mengundi bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram. - Bernama