Positif Covid-19 boleh mengundi

Azizan dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di ibu pejabat SPR, Putrajaya semalam.
Azizan dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di ibu pejabat SPR, Putrajaya semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membenarkan pengundi yang dijangkiti koronavirus (Covid-19), bergejala atau sedang dikuarantin atas sebab penyakit itu untuk mengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang pada hari mengundi 4 Julai ini.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kesediaan SPR memberi peluang itu kepada pengundi bagaimanapun tertakluk kepada kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk golongan berkenaan keluar dari hospital atau pusat kuarantin bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Bagi tujuan itu, Azhar menegaskan, SPR akan mewujudkan sebuah khemah khas di setiap pusat mengundi di mana petugas di dalam khemah itu akan memakai set peralatan pelindung diri (PPE).

“Inisiatif itu selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan polis yang terlibat dalam menyediakan SOP PRK mengambil kira kepentingan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

“Melalui inisiatif itu, mereka (pengundi) yang didapati bergejala semasa menjalani ujian saringan suhu, bersimptom, disahkan positif Covid-19 serta dikuarantin (akibat Covid-19) tidak akan dikekang atau dihalang daripada datang mengundi,” katanya dalam sesi wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di pejabatnya di Menara SPR di sini semalam.

Wawancara eksklusif itu turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Datuk Baharom Mahusin dan Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian, Zuki Pileh.

Azhar Azizan berkata, SPR memperuntukkan tempoh sejam bermula jam 4.30 petang hingga 5.30 petang pada hari pengundian kepada penghidap Covid-19 atau mereka yang bergejala untuk keluar mengundi.

Menurutnya, cadangan masa pengundi khas tersebut sekali gus menghindarkan sebarang ketakutan atau kebimbangan pengundi yang bebas Covid-19 untuk keluar mengundi.

Artikel Berkaitan:

Azhar Azizan dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Menara SPR, Putrajaya semalam.
Azhar Azizan dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Harian di Menara SPR, Putrajaya semalam.

“Dalam SPR menggalakkan pengundi PRK DUN Chini untuk mematuhi masa mengundi yang dicadangkan melalui kad pengundi yang kami hantar, kami turut menggalakkan semua pengundi selesaikan tanggungjawab mengundi selewat-lewatnya pada jam 4.30 petang.

“Jadi lebihan masa 4.30 petang hingga 5.30 petang, SPR akan khaskan waktu sejam itu untuk memberi ruang kepada pengundi yang bergejala atau menghidap Covid-19 untuk mengundi.

“Kalau boleh tempoh sejam itu memang dikhaskan untuk mereka tapi mereka kena minta kebenaran untuk keluar mengundi daripada pihak KKM,” katanya.

Patuhi masa

Azhar Azizan berkata, selain penekanan SOP mewujudkan khemah khas bagi kemudahan pesakit Covid-19, SPR turut memfokuskan kepada SOP am bagi mengharungi Covid-19 seperti amalan penjarakkan sosial, pemakaian topeng muka, saringan suhu, sanitasi tangan dan sarung tangan plastik untuk pengundi serta petugas.

Beliau menegaskan SPR turut menyediakan SOP PRK sehingga ke peringkat penggunaan berus khas bagi mencelup dakwat undi ke tangan pengundi.“Kita ada SOP sampai nak celup ink (dakwat), kita pakai brush (berus khas). Satu brush untuk seorang pengundi, lepas mengundi kita buang brush itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan inisiatif paling penting ditekankan SPR yang diharapkan dapat dituruti semua pengundi adalah masa keluar mengundi.

“Dalam kad pengundi yang SPR hantar, para pengundi digalakkan untuk keluar mengundi pada masa yang ditetapkan. Kalau cadangan itu boleh mereka turuti, kesesakan pengundi di pusat mengundi akan berkurangan.

“Dengan inisiatif itu, kita sudah pasti dapat kurangkan kontak semasa beratur sekali gus mengelakkan penyebaran Covid-19 pada hari pengundian,” katanya.PRK DUN Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham selaku wakil Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.

Sebelum ini, SPR mengumumkan PRK DUN Chini diadakan pada 4 Julai, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 20 Jun dan pengundian awal pada 30 Jun depan dengan kos keseluruhan pilihan raya berjumlah RM4.3 juta.

Parlimen Pekan yang turut merangkumi DUN Chini mencatatkan 24 kes jangkitan Covid-19 termasuk satu kes di DUN itu.Kesemua pesakit terlibat disahkan sembuh dengan kali terakhir kes Covid-19 dilaporkan berlaku di Parlimen Pekan adalah pada 13 Mei lalu.

Keseluruhan jumlah pengundi di DUN Chini adalah seramai 20,990 orang dengan 8,917 orang terdiri daripada pengundi luar.