Pemandu mabuk mengaku tidak salah langgar penghantar makanan

Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas selesai pertuduhan pagi tadi.
Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah selepas selesai pertuduhan pagi tadi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pekerja kedai aksesori kereta yang didakwa memandu dalam keadaan mabuk mengaku tidak bersalah melanggar penghantar makanan sehingga menyebabkan kematian di sini pagi tadi.

Tertuduh, Khor Yong Zhang, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Mengikut pertuduhan, Yong Zhang didakwa memandu Nissan Grand Livina pada jam 1.30 pagi di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ke Tun Razak dalam pengaruh alkohol iaitu 161 miligram/ 100 mililiter yang melebihi kandungan alkohol dibenarkan 80/100 mililiter.

Tertuduh juga didakwa dalam keadaan tidak berdaya mengawal kenderaan dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5, Mohamed Zaili Mohamed, 44.

ARTIKEL BERKAITAN: Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk

Oleh yang demikian tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000, penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta lesen memandu dibatalkan.

Pegawai Pendakwa, Abdullah Khazali menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat lesen memandu digantung sehingga kes selesai.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu mabuk rempuh penghantar makanan ditahan

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Khairul Amin Abdullah memohon jaminan rendah ekoran tertuduh masih muda dan berusia 21 tahun serta belum disabitkan bersalah serta wang jaminan yang tinggi akan memberi kesan kepada dirinya.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan dengan syarat tambahan lesen tertuduh turut digantung sehingga kes selesai.

Majistret Puteri Nursheila kemudian menetapkan 1 Julai bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen.