X

Kindly register in order to view this article
!

Pemandu mabuk rempuh penghantar makanan ditahan

Mangsa Mohamed Zaili Mohamed,44, yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ibu negara.
A
A

KUALA LUMPUR - Pemandu mabuk yang merempuh seorang penunggang motosikal sehingga maut ketika dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya di Lebuhraya Sultan Iskandar di sini awal pagi ini ditahan di Balai Polis Trafik Tun H S Lee.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, hasil ujian saringan menggunakan mesin evidential breath analyser mendapati nafas suspek mengandungi alkohol melebihi had.

Beliau berkata, suspek akan direman untuk siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara tiga tahun hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 dan RM20,000, jika sabit kesalahan.

“Polis memandang serius isu pemandu mabuk yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain. Bagi membanteras isu ini, polis akan menjalankan lebih banyak operasi.

“Selain itu, orang ramai juga dinasihat supaya lebih bertanggungjawab dan tidak mementingkan diri dengan cara mengelakkan diri daripada memandu kenderaan jika mabuk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Dalam kejadian pada kira-kira jam 1.30 pagi ini, Mohamed Zaili Mohamed,44, yang dalam perjalanan pulang selepas menghantar makanan yang dijual isterinya, maut apabila motosikalnya dirempuh sebuah kereta dipercayai dipandu lelaki mabuk di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala ibu negara. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus