Malaysia, Singapura setuju sambung semula bincang projek kereta api laju

Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi KL- Singapura (HRS) dalam masa terdekat. (Gambar kecil: Mohamed Azmin)
Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi KL- Singapura (HRS) dalam masa terdekat. (Gambar kecil: Mohamed Azmin)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Kerajaan Malaysia dan Singapura telah bersetuju untuk menyambung semula perbincangan mengenai projek kereta api berkelajuan tinggi KL- Singapura (HRS) dalam masa terdekat.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam satu kenyataan hari ini berkata, perbincangan itu akan merangkumi beberapa cadangan perubahan dalam aspek komersial dan teknikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Singapura harap dapat teruskan rundingan projek HSR, RTS

Menurutnya, keputusan tersebut dicapai setelah kedua-dua pihak bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan keputusan mengenai HRS sehingga 31 Disember 2020.

“Saya telah diminta oleh Jemaah Menteri untuk mengetuai pasukan Malaysia dalam perbincangan dengan Kerajaan Singapura mengenai projek ini,” katanya.

Sebelum ini pada 5 September 2018, kedua-dua kerajaan telah bersetuju untuk menggantung pembinaan projek dua hala itu sehingga 31 Mei 2020 bagi mencari cara terbaik untuk meneruskan projek tersebut.

Kerajaan Malaysia telah menyemak semula projek itu dengan MyHSR Corp untuk mengenal pasti pilihan pengurangan kos seperti mengkaji semula dan mengoptimumkan penjajaran, lokasi stesen dan model perniagaan.

Sementara itu, sebagai reaksi kepada kenyataan tersebut, Kementerian Pengangkutan Singapura mengesahkan bahawa kerajaan Malaysia telah memaklumkan kepada republik berkenaan bahawa ia mahu mencadangkan beberapa perubahan kepada projek HRS dan meminta lanjutan tujuh bulan bagi membolehkan kedua-dua pihak membincangkan cadangan Malaysia itu.

Artikel Berkaitan:

Atas semangat kerjasama dua hala, kementerian itu berkata, Singapura bersetuju kepada “lanjutan akhir” penggantungan Projek HSR bagi tempoh tujuh bulan lagi hingga 31 Disember 2020.

"Kami berharap dapat menerima cadangan rasmi Malaysia mengenai perubahan kepada Projek HRS tidak lama lagi, agar kedua-dua belah pihak boleh memulakan perbincangan dengan segera,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan berkata, lanjutan tempoh itu akan menyediakan masa yang mencukupi kepada Malaysia untuk membentangkan cadangannya dan bagi kedua-dua pihak untuk menilai implikasi cadangan perubahan itu.

"Pandemik Covid-19 menyukarkan untuk mengadakan perbincangan tetapi tele-persidangan boleh mengatasi kesukaran ini. Kuncinya adalah komitmen bersama terhadap visi dan kepercayaan bersama projek itu.

"Namun begitu, HSR adalah projek yang kompleks dan kedua-dua pihak perlu diyakinkan bahawa perubahan tersebut tidak akan menjejaskan hasrat asal projek tersebut.

"Saya tetap optimis bahawa HSR yang menghubungkan kedua-dua ibu kota itu akan memberi manfaat kepada rakyat kedua-dua negara,” kata Boon Wan yang juga merupakan Menteri Penyelaras bagi Infrastruktur dalam catatannya di laman Facebook beliau. - Bernama