X

Kindly register in order to view this article
!

Singapura harap dapat teruskan rundingan projek HSR, RTS

Gambar hiasan
A
A

SINGAPURA - Singapura berharap dapat meneruskan rundingan dengan kerajaan baharu di Malaysia mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Singapura-Kuala Lumpur dan Sistem Transit Rapid (RTS) Singapura-Johor Bharu yang tertangguh pada bulan-bulan akan datang, demikian menurut laporan TODAY.

Memetik Menteri Luar republik itu Dr Vivian Balakrishnan semasa perbahasan mengenai belanjawan kementeriannya di Parlimen hari ini, portal berita itu berkata, Singapura menjangka pembentukan Kabinet Malaysia yang baharu dan meneruskan rundingan dua hala tidak lama lagi.

“Kami kenal ramai personaliti dalam gabungan (Perikatan Nasional perdana menteri yang baharu) dengan baik, daripada penglibatan kami selama beberapa dekad, dan kami mengucapkan kepada mereka semoga berjaya. Kami yakin kami akan terus mempunyai hubungan yang membina, memberi manfaat bersama dengan Malaysia, dan berharap dapat meneruskan rundingan mengenai isu dan projek yang sedang dijalankan,” katanya yang dipetik sebagai berkata demikian.

Menurut laporan itu, Balakrishnan mengulas dua ucapan oleh Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim, Ahli Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan Nee Soon (GRC) dan ketua Parti Pekerja Pritam Singh mengenai hubungan Singapura dengan Malaysia.

Dr Faishal, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan bagi Pendidikan, Pembangunan Sosial dan Keluarga, dilaporkan berkata, situasi politik di Malaysia telah berkembang dengan pesat sejak kebelakangan ini yang “secara tidak langsung akan memberi kesan kepada Singapura dalam banyak aspek”.

Mengenai perkembangan terkini mengenai projek HSR dan RTS katanya, memandangkan projek tersebut akan memberi manfaat bersama kepada rakyat di kedua-dua negara, 'ia tidak boleh dibiarkan tergantung'.

“Pada satu tahap, kita perlu membuat keputusan sama ada untuk meneruskannya atau tidak. Kami berharap untuk mendapat keputusan dari Malaysia mengenai dua projek itu pada bulan-bulan akan datang," katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara semalam.

Sementara itu, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Singapura Dr Maliki Osman dilaporkan berkata terdapat lebih 50 lawatan dan pertukaran peringkat menteri antara Malaysia dan Singapura pada tahun lepas sahaja.

“Pertukaran ini membolehkan kami membincangkan pelbagai isu, termasuk projek jaringan seperti RTS Link Singapura-Johor Bharu dan HSR Singapura-Kuala Lumpur. Saya berharap kami akan dapat terus mencatat kemajuan dalam projek ini yang memberi manfaat bersama,” katanya yang dipetik sebagai berkata demikian. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus