Pada 13 Julai berbahaslah sampai puas

Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen.
 - Foto Bernama
Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen.
 - Foto Bernama
A
A
A

SELEPAS hampir seminggu polemik sidang Dewan Rakyat sehari menjadi perbualan ramai, akhirnya kelmarin 220 daripada 222 orang Yang Berhormat akur untuk bersidang di Parlimen bagi mematuhi syarat Perlembagaan Malaysia.

Jika persidangan tersebut tidak diadakan dalam tempoh enam bulan daripada kali terakhir dewan bersidang, bukan setakat Parlimen boleh terbubar, ahli Parlimen juga boleh kehilangan kerusi.

Bak kata pepatah, rumah siap pahat pun berbunyi. Walaupun persidangan telah melabuhkan tirai kelmarin, namun ada ahli Parlimen yang masih memanjangkan ketidakpuasan hati mereka.

Rata-rata ahli Parlimen Pakatan Harapan tetap menempelak persidangan ‘pendek’ itu yang dirujuk sebagai ‘kebaculan’ kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam berdepan undi tidak percaya mereka.

Walaupun seperti tercatat dalam takwim Parlimen sidang Dewan Rakyat akan kembali bersambung pada 13 Julai ini, namun segelintir ahli Parlimen pembangkang tidak boleh menunggu tempoh 56 hari lagi itu.

Walaupun di pihak kerajaan memberikan alasan bahawa persidangan pendek itu terpaksa dilakukan kerana pandemik Covid-19, sementelah pihak pembangkang pula mendakwa PN sebenarnya takut dengan undi tidak percaya, kedua-dua pendapat itu ada kewajarannya.

Apatah lagi dengan terungkainya jumlah sebenar kedudukan kerusi blok kerajaan dan pembangkang, memang ada kewajaran untuk kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berasa bimbang.

Berdiri dan mentadbir Putrajaya dengan hanya kelebihan majoriti dua kerusi, ada kewajaran untuk mereka berhati-hati dengan usul undi tidak percaya. Tambahan pula apabila pihak pengurusan Parlimen sendiri boleh tersilap mengatur tempat duduk Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Kujat dan meletakkan tempat duduk beliau di blok kerajaan, ia menunjukkan betapa Parlimen sendiri kurang jelas dengan pendirian ahli Parlimen tertentu.

Artikel Berkaitan:

Namun, sidang Parlimen sehari telah pun melabuhkan tirai dan tiada gunanya juga untuk bertegang leher. Selaku kerajaan yang berkuasa, Kabinet Muhyiddin mempunyai kuasa untuk menjalankan urusan Parlimen.

Pada 13 Julai nanti, berbahaslah sampai puas, apatah lagi dengan 25 hari persidangan. Tapi bila diberi kesempatan berdebat, jangan pula ada ahli Parlimen yang ‘tuang’ persidangan sudahlah. Hanya dengan alasan dewan terlalu sejuk.