Macam-macam hal di mahkamah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

“PADAN muka, siapa suruh ingkar arahan polis. Tengok ini, habis kereta aku. Siapa nak ganti? Denda sampai RM3,500 kena bayar. Rasakanlah,” kata seorang isteri kepada suami dan rakannya selepas dihukum oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Itu antara gelagat pasangan suami isteri yang ditemui di mahkamah setelah satu sesi perbicaraan selesai baru-baru ini.

Pagi itu, sebagaimana kebiasaan di Mahkamah Kuala Lumpur, pendaftaran bagi kes-kes baharu dibuka.

Tidak hanya terhad kepada pesalah ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi ada juga kes-kes lain seperti keganasan rumah tangga, menghalang tugas penjawat awam, merogol dan memecah masuk rumah.

Bagi kes pasangan wanita itu, suaminya, Muhammad Khir Hussain, 21, yang bekerja sebagai peniaga buah didakwa menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Kesalahan didakwa dilakukan bersama rakannya, Mat Khalid Abd Aziz, 42, yang duduk di bahagian penumpang.

Muhammad Khir yang memandu kereta Perodua Alza milik isterinya enggan memberhentikan kereta apabila diminta oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan terus memecut ke arah kawasan Nakhoda, Selayang pada jam 2.20 pagi, 5 Mei lalu.

Atas kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Saya juga bersetuju dengan nasihat Majistret M Saravanan pada penghujung kes itu, kedua-dua lelaki itu mungkin tidak akan dihadapkan ke mahkamah sekiranya memberi kerjasama kepada pihak polis ketika menjalankan tugas.

Dia bukan sahaja perlu membayar kos baik pulih kereta isterinya yang remuk malah dia perlu membayar denda yang mencecah ribuan ringgit.

Pengalaman

Mereka mungkin ambil mudah dengan perkara itu kerana beranggapan boleh lari daripada polis.Ternyata mereka silap kerana ketangkasan polis menangkap penjenayah dengan cepat sebagaimana dalam cerita Gerak Khas bukan satu perkara yang direka semata-mata.

Sebaliknya, mereka mempunyai pengalaman yang luas serta terlatih dalam menangani setiap pesalah yang cuba melarikan diri daripada ditahan.

Tahukah anda, pasukan Sang Saka Biru itu juga pernah mengharumkan nama negara di seluruh dunia apabila diiktiraf sebagai pasukan polis terbaik di dunia apabila berjaya menyelesaikan 73,281 daripada 198,622 kes (bersamaan 36.89 peratus) yang direkodkan pada tahun 2006.

Ia melebihi tahap piawaian Interpol iaitu 20 peratus daripada kes jenayah yang direkodkan setiap tahun.

Satu lagi kes di mahkamah yang menimbulkan kemarahan ialah membabitkan seorang lelaki, Muhammad Sadruddin Mohd Saidfudin, 35, yang didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya yang berusia 35 tahun sehingga patah tangan kanan kerana mengangkat mangsa dan menghempasnya ke lantai.

Pada saat negara sedang bergelut dengan pandemik Covid-19, masih ada juga kes keganasan rumah tangga berlaku ketika ini.

Kes keganasan rumah tangga bukan sahaja terjadi di negara kita, malah di Perancis terdapat juga peningkatan sebanyak 32 hingga 36 peratus dan turut dilihat di negara-negara lain seperti Sepanyol, Greenland dan Tunisia.

Di Malaysia, sebanyak 761 kes membabitkan keganasan rumah tangga dilaporkan bermula 18 Februari hingga 15 April lalu.

Golongan wanita wajar dilindungi dan bukannya disakiti oleh orang yang dipercayai.

Pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk membantu golongan ini antaranya menerusi Talian Kasih di bawah Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat iaitu 15999 atau WhatsApp ke talian 019-2615999.

Gunakan hak anda supaya tidak terus menjadi mangsa kepada kerakusan si pendera.

* Azlida Alimin ialah Wartawan Meja Jenayah/Mahkamah Sinar Harian