Pelantikan speaker baharu ikut peraturan

Datuk Seri Ab Rauf Yusoh secara rasmi dilantik sebagai Speaker DUN Melaka yang baharu.
Datuk Seri Ab Rauf Yusoh secara rasmi dilantik sebagai Speaker DUN Melaka yang baharu.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh secara rasmi dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang baharu.

Perkara itu diputuskan pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke 14 selepas Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) mengusulkan nama Ketua UMNO Bahagian Masjid Tanah itu dan disokong Datuk Seri Ghafaar Atan (BN-Asahan).

Ketika itu, persidangan dipengerusikan sementara oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Ghazale Muhamad mengikut Fasal 20 (3) Undang-Undang Perlembagaan Negeri Melaka yang membolehkan seorang ADUN dilantik sementara sebagai pengerusi persidangan jika terdapat kekosongan bagi jawatan itu (Speaker).

Pelantikan Ab Rauf diterima selepas mendapat sokongan majoriti 16 ADUN Perikatan Nasional daripada 28 ADUN manakala usul melantik Ghazale sebagai Timbalan Speaker pula dibacakan Datuk Latipah Omar (BN-Taboh Naning) dan disokong Datuk Roslan Ahmad (BN-Merlimau).

Sulaiman yang ditemui di luar dewan berkata, pelantikan itu dibuat mengikut peraturan mesyuarat perkara17 (5)(a) apabila speaker mahu menangguhkan dewan perlu ada usul, bagaimanapun dalam situasi itu tidak ada usul untuk menangguhkan dewan.

Menurutnya, apabila pertukaran kerajaan pada dasarnya pasti berlaku pertukaran speaker dan timbalan speaker malah Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas mengesahkan persidangan itu masih berjalan dan usul yang tertangguh sebelum ini boleh dibacakan walaupun tiada wakil pembangkang yang hadir.

"Semua berjalan lancar dan saya yakin tidak akan berlaku ketidakpuasan hati termasuk krisis perlembagaan kerana kita mengikut undang-undang," katanya.

Melaka mempunyai 28 kerusi DUN dengan 13 Barisan Nasional (BN), masing-masing dua BERSATU dan Bebas manakala selebihnya dari Pakatan Harapan (PH) membabitkan tujuh DAP serta masing-masing dua AMANAH dan PKR.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Speaker DUN, Datuk Omar Jaafar menangguhkan persidangan selepas berlaku kekecohan di antara beliau dan Datuk Idris Haron (BN-Sungai Udang) yang mempertikaikan Omar masih menyandang jawatan itu sedangkan Perikatan Nasional telah mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) negeri, Datuk Mohd Sofi Ab Wahab, ketika dihubungi mendakwa persidangan kedua yang dijalankan kerajaan Perikatan Nasional itu tidak sah.

Katanya, Omar sebagai Speaker telah menangguhkan persidangan maka segala perjumpaan serta perbincangan selepas itu dianggap tidak mengikut peraturan.

"Speaker yang sah tidak dimaklumkan dan kami juga ADUN tidak dipanggil, Jadi saya anggap persidangan bagi melantik speaker yang baharu itu tidak sah," katanya yang juga ADUN Durian Tunggal.

Pengerusi DAP negeri, Datuk Tey Kok Kiew, berkata, peguam Pakatan Harapan (PH) akan meneliti undang-undang mengenai pelantikan Ab Rauf sebagai speaker baharu sama ada sah atau sebaliknya.

"Kami tidak dipanggil semula ke persidangan yang menyaksikan pemilihan Ab Rauf sebagai Speaker DUN yang baharu selepas keluar mengikut arahan Speaker ketika menangguhkan persidangan," katanya.