Mohamad Sabu pertahan lantikan 5 pengerusi badan berkanun

Mohamad ketika berucap pada majlis perhimpunan dan ramah mesra bersama warga kementerian itu sempena Aidilfitri 2023 di MAEPS hari ini. - Foto Bernama
Mohamad ketika berucap pada majlis perhimpunan dan ramah mesra bersama warga kementerian itu sempena Aidilfitri 2023 di MAEPS hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mempertahankan tindakan melantik lima pemimpin politik sebagai pengerusi baharu badan berkanun di bawah kementeriannya.

Beliau menegaskan, pemilihan itu dibuat bukanlah atas kapasiti politik tetapi berdasarkan perbincangan bersama kepimpinan tertinggi.

Selain itu katanya, mereka yang dilantik hanya mempengerusikan mesyuarat dan ada pakar yang akan bertindak sebagai penasihat.

“Pemilihan itu dibuat selepas melihat reputasi dan pembabitan mereka terbabit dalam masyarakat. Jawatan mereka hanya pengerusi, di bawah ada pakarnya, semuanya bekerjasama.

“Pengerusi hanya mempengerusikan mesyuarat dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) misalnya, banyak pakar di bawahnya. Penglibatan mereka (pengerusi) dalam masyarakat yang utama, kita tak boleh pilih orang yang berbentuk elit kerana mereka kena ambil tahu hal di bendang, hal nelayan.

“Jadi, rekod mereka dalam masyarakat yang paling utama," katanya selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan dan Ramah Mesra bersama warga KPKM di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Khamis.

Mohamad menjelaskan, tidak timbul isu lantikan dibuat sebagai ganjaran atau imbuhan buat mereka walaupun ada antaranya calon yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"Ramai yang kalah dalam PRU15 tapi jadi menteri sekarang. Apa kamu nak kata? Prestasinya juga bagus, jadi itu bukan pengukur," katanya.

Pada Rabu, Mohamad telah memaklumkan pelantikan pengerusi lima badan berkanun persekutuan melibatkan pemimpin politik berkuat kuasa mulai 15 Mei ini setelah mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara yang dilantik ialah Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil; Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar; Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Aminuddin Zulkipli; Pengerusi Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr Azman Ismail dan Pengerusi Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Sheikh Umar Bagharib Ali.