Imigresen gempur Selangor Mansion

Petugas keselamatan menjalankan pemeriksaan di lokasi bangunan Selangor Mansion, Kuala Lumpur hari ini.
Petugas keselamatan menjalankan pemeriksaan di lokasi bangunan Selangor Mansion, Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lokasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di bangunan Selangor Mansion di Jalan Masjid India di sini yang majoriti didiami warga asing digempur pihak berkuasa, hari ini.

Operasi diketuai Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) itu dijalankan bermula kira-kira jam 9 pagi dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Difahamkan, operasi terbabit bagi mengesan warga asing yang melanggar kesalahan imigresen seperti tidak memiliki permit kerja, tiada pengenalan diri dan pelbagai kesalahan lain.

Operasi mengesan warga asing ini dikatakan mudah dilaksanakan berikutan keseluruhan kawasan yang digempur dipasang kawat duri berikutan perintah PKPD.

Operasi dikatakan tamat kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Trak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat keluar dari kawasan bangunan Selangor Mansion, Kuala Lumpur hari ini.
Trak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilihat keluar dari kawasan bangunan Selangor Mansion, Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan di bangunan itu yang mahu dikenali sebagai Deen memaklumkan, semua penghuni memberi kerjasama penuh terhadap operasi dilakukan pihak berkuasa.

"Semua penduduk di sini patuh dengan arahan pihak berkuasa termasuklah mengikut arahan dengan mengamalkan penjarakan sosial dan memakai topeng muka. Terdapat juga petugas dilihat menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE)," katanya.

Artikel Berkaitan:

14 April lalu, PKPD diisytihar di Masjid India dan kawasan sekitarnya membabitkan lebih 10,000 penduduk.

PKPD yang kelima itu dilaksanakan selepas kawasan berkenaan mencatatkan lebih 40 kes positif Covid-19.

Sebaik status PKPD dikuatkuasakan, premis yang wajib ditutup adalah sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Melaka dan Jalan Ampang.

Antara pusat beli-belah dan premis perniagaan yang terdapat dalam kawasan Masjid India adalah Semua House, Mydin, Kompleks Cambell, Wisma Kosas, Wisma Yakin serta puluhan hotel tiga bintang dan hotel bajet yang sudah diarahkan tutup sejak awal.

Kawasan bersaiz kira-kira satu kilometer persegi yang mempunyai anggaran lebih 10,000 penduduk termasuk lebih 6,000 yang mendiami flat Selangor Mansion dan Malayan Mansion serta 3,200 penduduk di Plaza City One.