Video amah berkasar dengan anak majikan didedah

Tangkap layar video amah bertindak kasar dengan anak majikan yang dikongsi di media sosial.
Tangkap layar video amah bertindak kasar dengan anak majikan yang dikongsi di media sosial.
A
A
A

SHAH ALAM – Satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan seorang pembantu rumah bertindak kasar terhadap anak majikannya didedahkan dan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes dua pasangan suami isteri yang kini disiasat polis kerana disyaki mencederakan seorang amah warga asing di Johor.

Seorang individu yang mendakwa sebagai rakan kepada majikan terbabit tampil berkongsi penjelasan di media sosial dengan mendakwa kemarahan pasangan itu berpunca daripada kejadian lama yang dikatakan melibatkan pembantu rumah yang pernah menjaga anak mereka.

Menurut hantaran yang dimuat naik di Threads, individu berkenaan mendakwa terdapat dua episod berbeza melibatkan pembantu rumah di kediaman itu.

Dakwanya, pembantu rumah pertama yang bekerja pada tahun lalu telah diberhentikan selepas didakwa mendera anak majikannya, manakala pembantu rumah kedua yang diambil bekerja pada tahun ini pula dikatakan diberhentikan selepas didakwa terlibat dalam kes kecurian.

"Agaknya sudah kantoi dan bibik itu diberhentikan. Jadi, dia bermain sebagai mangsa dengan menggunakan video bibik lama sebagai modal.

"Cuma saya tidak pasti dari mana bibik ini memperoleh video bibik lama. Ini pemilik yang beritahu sendiri bahawa bibik baharu bermain sebagai mangsa," menurut hantaran tersebut.

Hantaran sama turut memaparkan tangkap layar rakaman CCTV yang didakwa menunjukkan kronologi seorang pembantu rumah mengejar kanak-kanak sebelum berlaku kejadian di dalam rumah.

Menerusi video yang dikongsikan, wanita berkenaan dilihat sedang melakukan kerja-kerja rumah di ruang tamu sebelum bertindak mengalihkan seorang kanak-kanak perempuan yang berada di atas lantai.

Berdasarkan rakaman berkenaan, wanita terbabit dilihat beberapa kali mengendalikan beberapa kanak-kanak dengan cara yang didakwa kasar termasuk menarik rambut salah seorang kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Rakaman itu turut disertakan dengan dakwaan bahawa pembantu rumah terbabit mengangkat dan menghempas kanak-kanak berkenaan ke tepi bagi membolehkannya menyapu kawasan tersebut.

Kejadian itu hanya disedari ibu bapa kanak-kanak terbabit selepas mereka meneliti semula rakaman CCTV yang dipasang di kediaman berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!