Covid-19: Semua 56 mukim di Selangor bebas zon merah

Info grafik dimuat naik STFC menunjukkan semua 56 mukim di Selangor bebas zon merah sehingga jam 12 tengah hari semalam.
Info grafik dimuat naik STFC menunjukkan semua 56 mukim di Selangor bebas zon merah sehingga jam 12 tengah hari semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua 56 mukim di Selangor kini hanya ditakrif sebagai zon kuning dan zon hijau apabila mukim Hulu Langat yang menjadi satu-satunya mukim masih ditakrif sebagai zon merah sebelum ini bertambah baik dan hanya mencatat 33 kes positif Covid-19 sehingga jam12 tengah hari semalam.

Berdasarkan info grafik dimuat naik Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) dalam akaun Facebook rasminya menunjukkan, situasi di Selangor bertambah baik dan semua mukim bersih daripada zon merah.

Namun daerah Hulu Langat kini masih lagi ditakrif sebagai zon merah dengan 50 kes dilapor masih aktif.

Menurut kenyataan itu, 33 mukim sudah ditakrif sebagai zon hijau dan 23 lagi ditakrif sebagai zon kuning.

Sebanyak 24 kes baharu direkodkan sehingga jam 12 tengah hari semalam menjadikan jumlah kes terkumpul di Selangor sebanyak 1,455 kes.

Kenyataan itu memaklumkan, daripada jumlah tersebut, seramai 1,250 pesakit dilapor telah sembuh, 157 kes lagi masih aktif dan 18 kematian direkodkan setakat semalam.

“Akhirnya semakin baik situasinya di Selangor apabila semua mukim telah bersih dari zon merah. Tahniah kesemua warga Selangor! Disiplin anda mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan kunci bagi pencapaian ini.

“Dari perspektif daerah pula, hanya Hulu Langat saja yang berada dalam zon merah. Dengan kuantiti kes aktif yang tidak keterlaluan tingginya, potensi daerah Hulu Langat untuk keluar dari zon merah adalah baik,” menurut kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, STFC menerusi kenyataan tersebut turut meminta rakyat Selangor untuk terus mengamalkan penjarakkan sosial dan kebersihan diri.

“Harus ditekankan untuk kesekian kalinya, anda benar-benar perlu jaga dan amalkan teras PKP iaitu penjarakkan sosial dan kebersihan diri.

“Dalam usaha melandaikan keluk pandemik, amalan ini harus konsisten dan menjadi budaya masyarakat pada setiap masa. Inilah sebahagian daripada kebiasaan baharu atau ‘new normal’. Walau apa jua urusan anda, pastikan amalan ini sentiasa terpelihara,” menurut kenyataan itu