Kes positif penularan tempatan meningkat dua hari berturut-turut

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan semasa wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media mengenai perkembangan semasa wabak Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes positif koronavirus (Covid-19) membabitkan penularan tempatan menunjukkan peningkatan dua hari berturut-turut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 69 kes baharu, 57 kes membabitkan penularan tempatan berbanding kes import sebanyak 12.

"Ini menjadikan jumlah kumulatif positif Covid-19 sebanyak 6,071 kes," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 1,758 pesakit Covid-19 masih dirawat di hospital.

"Sehingga kini, seramai 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 14 memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan merekodkan satu kematian membabitkan lelaki berumur 66 tahun yang juga mempunyai penyakit barah darah.

Katanya, pesakit berkenaan merupakan kes positif ke-5,441 dan mempunyai sejarah kontak rapat dengan kes positif 4,818.

"Dia dirawat di hospital Kuala Lumpur pada 14 April lalu dan disahkan meninggal dunia 4 petang semalam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan 58 kes baharu yang mana 25 kes terdiri daripada kes import dan 32 penularan tempatan.

Berdasarkan data terbaharu KKM, dua lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mempunyai kes jangkitan baharu iaitu Selayang Baru (17 kes) manakala satu lagi lokaliti terdiri dari Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur, Pasar Borong Selayang dan Pasar Borong Kuala Lumpur mencatatkan sebanyak tiga kes.

Bagi kluster perhimpunan Sri Petaling, KKM mencatatkan pertambahan empat kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan positif Covid-19 sebanyak 2,179 kes.