Kes denggi di Kedah meningkat 356.5 peratus

Sehingga 13 Mei, sebanyak 124,815 premis telah diperiksa dan 2,668 kompaun dengan nilai lebih RM1.3 juta dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975. - Foto fail Bernama
Sehingga 13 Mei, sebanyak 124,815 premis telah diperiksa dan 2,668 kompaun dengan nilai lebih RM1.3 juta dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975. - Foto fail Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kes denggi di Kedah meningkat 356.5 peratus dengan 1,639 kes dicatatkan sehingga 13 Mei tahun ini, berbanding 359 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, terdapat satu kematian dilaporkan pada minggu epidemiologi (ME) ke-19 dan merupakan kes kematian pertama akibat denggi di Kedah pada tahun ini.

"Kes kematian melibatkan seorang lelaki berusia 56 di daerah Kubang Pasu yang juga menghidap beberapa penyakit kronik termasuk buah pinggang dan darah tinggi. Ini merupakan kematian pertama disebabkan oleh denggi di Kedah.

"Sehingga 13 Mei, sebanyak 161 wabak direkodkan berbanding 38 bagi tempoh sama tahun lalu. Daripada jumlah wabak denggi yang dilaporkan itu, 124 wabak sudah tamat, 35 masih aktif dan dua wabak yang berlanjutan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, sehingga 13 Mei juga, sebanyak 124,815 premis telah diperiksa dan 2,668 kompaun dengan nilai lebih RM1.3 juta dikeluarkan mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 kepada pemilik premis yang dikesan terdapat pembiakan nyamuk aedes.

Dr Mohd Hayati berkata, susulan peningkatan jangkitan denggi di negeri itu, pembabitan masyarakat adalah mustahak dalam mengawal wabak dan peningkatan kes.

"Masyarakat perlu bersama memikul tanggungjawab melaksanakan aktiviti pembersihan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di kediaman dan premis masing-masing.

"Kerajaan negeri berharap semua pihak dapat bersama-sama mengambil tindakan pencegahan dengan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes demi mencegah jangkitan demam denggi daripada terus merebak dan menyebabkan kematian,” katanya. - Bernama