Dugaan Ramadan, anak kena air panas

Intan Fadilah menunjukkan keadaan muka anak bongsunya yang semakin pulih(ihsan Intan Fadilah).
Intan Fadilah menunjukkan keadaan muka anak bongsunya yang semakin pulih(ihsan Intan Fadilah).
A
A
A

KUALA PILAH – Menjelang dua hari Ramadan, pasangan suami isteri Muhammad Fauzan Mohd Pauzi, 31 dan isteri, Intan Fadilah Mohamad Johar, 31, diuji apabila anak bongsu mereka berusia satu tahun cedera terkena air panas.

Kejadian kira-kira jam 11.30 malam itu berlaku di rumah mereka di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah.

Malah gambar keadaan muka anak mereka Nur Farah Maleesa yang kemerahan turut tular di media sosial sehingga mengundang simpati netizen yang rata-ratanya mendoakan supaya anak kecil itu cepat sembuh.

Menceritakan kejadian itu Intan Fadilah berkata, tragedi malang itu berlaku ketika anak sulungnya berusia lapan tahun mahu membuat air milo.

”Anak sulung saya, Rayqal Iskandar letak gelas berisi air panas atas meja sementara nak ambil milo. Ketika itulah Maleesa (Nur Farah Maleesa) capainya dan air yang panas itu terus tumpah ke atas muka dan badannya.

”Saya pula ketika itu berada dalam bilik untuk berehat manakala suami pula yang bekerja sebagai anggota polis sudah tidur kerana kepenatan bertugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Maleesa yang kini sudah semakin ceria(Ihsan Intan Fadilah).
Maleesa yang kini sudah semakin ceria(Ihsan Intan Fadilah).

Menurutnya, kejadian itu disedarinya apabila terdengar tangisan dan jeritan Maleesa dari bahagian dapur.

Kata Intan Fadilah, dia dan suami ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah, di sini, untuk mendapatkan rawatan.

”Masa mula-mula itu mata Maleesa tak boleh buka dan dari awal pemerhatian doktor mendapati mata sebelah kirinya ada luka.

”Saya betul-betul risau kerana keadaan mukanya juga merah akibat terkena air panas. Tapi Alhamdulillah selepas pemeriksaan sekali lagi doktor dapati mata anak saya pulih sepenuhnya.

"Tak sangka pula perkongsian gambar anak saya di Facebook peribadi saya menjadi tular. Tujuan saya supaya kenalan di Facebook dapat doakan anak kami.

”Yelah, bila jadi macam ini saya sebagai ibu rasa ’down’. Sudahlah kita semua dalam tempoh PKP dan bulan puasa pula, saya pula diuji anak sakit,”katanya.

Sementara itu, kata Intan Fadilah, dia bernasib baik mendapat jiran yang prihatin apabila sudi menjaga tiga lagi anaknya yang berusia lapan, enam dan tiga tahun ketika dia berada di hospital dan suaminya pula perlu bertugas.

Dia turut menyatakan rasa terharu dan terima kasih di atas titipan doa daripada netizen di media sosial.