Lapan kantoi berjudi di kedai gunting rambut

Lapan lelaki ditahan ketika sedang leka berjudi di sebuah kedai gunting rambut awal pagi tadi.
Lapan lelaki ditahan ketika sedang leka berjudi di sebuah kedai gunting rambut awal pagi tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai lapan lelaki ditahan ketika sedang leka bermain judi pakau di sebuah kedai gunting rambut di Jalan Bakau Taman Mutiara Vista, Jelutong di sini awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zainol Samah berkata, mereka ditahan dalam Ops Covid/ Op Dadu yang dijalankan sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Kongsi Gelap, Judi Dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada jam 2 pagi.

Menurutnya, kesemua lelaki yang ditahan termasuk pemilik kedai gunting dan seorang warga India itu berusia lingkungan 21 hingga 30 tahun.

"Siasatan mendapati, kedai gunting rambut tersebut merupakan kediaman lelaki warga India itu yang dijadikan tempat untuk berjudi. Tempat judi tersebut dipercayai sudah beroperasi sejak tiga hari lalu sebelum serbuan.

"Dipercayai mereka akan berjudi bermula jam 12 tengah malam sehingga lewat pagi bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Zainol berkata, polis merampas wang tunai RM798 dan beberapa peralatan perjudian lain antaranya 52 keping kad daun terup, sebuah meja dan lapan buah kerusi.

"Kesemua suspek ditahan direman untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan; Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953; Seksyen 25(1)(n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Berjangkit) 2020.

Artikel Berkaitan: