Wanita ditahan bantu siasatan kes kemalangan maut pesara polis, isteri

SUNGAI PETANI - Polis menahan seorang wanita bagi merakam keterangan membabitkan kemalangan maut di Kilometer 114.4 Lebuhraya Utara Selatan yang mengorbankan pasangan suami isteri pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, penahanan wanita berusia 36 tahun yang merupakan pemilik kenderaan Perodua Bezza itu bertujuan membantu siasatan kes berkenaan.
"Maklumat awal mengatakan dia berhenti, dan bergerak semula selepas menukar pemandu. Jadi, itu dalam siasatan awal, dan kita akan dapatkan keterangan lanjut.
"Dalam siasatan untuk menentukan sama ada dia memandu atau dia adal toah penumpang. Sebab ada dua kemungkinan, dikatakan dalam proses menukar pemandu, sama ada dia sudah bawa ataupun belum. Jadi, penahanan perlu untuk siasatan lanjut," katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang pesara polis dan isteri maut terlibat kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bandar Utama di sini.
Hanyan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, pihaknya menerima maklumat kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.
Dalam kejadian itu, mangsa yang sudah kira-kira empat tahun bersara dari perkhidmatan polis, Sarjan (B) Suhaimi Saidin, 64, dan isteri, Normah Hashim, 60, dikatakan mengalami kecederaan di keseluruhan bahagian badan termasuk kepala.
Kemalangan dipercayai berlaku apabila dua buah motosikal termasuk skuter jenis Yamaha XMAX dinaiki pasangan terbabit dikatakan merempuh kereta Perodua Bezza yang sedang bergerak dari lorong kecemasan ke lorong kiri setelah menukar pemandu.
Dua lagi remaja menaiki sebuah lagi motosikal dilaporkan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di sini untuk menerima rawatan.
"Saya minta jika ada yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka yang melihat ataupun merakam kejadian, boleh bantu pihak polis dengan menyerahkan rakaman tersebut kepada pihak polis," jelas beliau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

