JKKP masih tunggu dokumen lengkap bagi kerja mitigasi cerun runtuh

Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 25 Oktober lalu.
Kejadian tanah runtuh yang berlaku pada 25 Oktober lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang masih menunggu dokumen lengkap serta permohonan rasmi daripada pihak pemaju sebelum kerja-kerja mitigasi dan pembaikan kawasan cerun runtuh di Taman Seri Rambai, Paya Terubong dapat dipertimbangkan.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, H'ng Mooi Lye berkata, JKKP telah menerima laporan kejadian tanah runtuh daripada jurutera geoteknikal pemaju, WYA Consulting Engineers Sdn Bhd pada 5 November lalu.

Bagaimanapun, beliau berkata, JKKP masih menunggu dokumen lengkap daripada jurutera awam pemaju, Aptitute Consulting Engineers Sdn Bhd, yang bertindak sebagai Pegawai Penguasa (S.O.) bagi projek berkenaan.

"Dokumen penuh serta permohonan rasmi untuk menjalankan kerja-kerja mitigasi dan pembaikan kawasan runtuhan cerun dijangka dikemukakan kepada JKKP pada 11 November 2026 untuk pertimbangan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.36 pagi pada 25 Oktober lalu, seorang doktor, Wong Kar Lin, 73, maut selepas tertimbus di bawah runtuhan konkrit apabila kejadian tanah runtuh melanda rumahnya ketika sedang menyediakan sarapan untuk keluarga.

Kejadian itu turut melibatkan isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 67, dan ibu mentuanya yang berusia lingkungan 80-an.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka terselamat selepas sempat keluar dari rumah berkenaan ketika kejadian berlaku.

Susulan insiden itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta terhadap projek pembinaan kondominium dan jalan di kawasan cerun berhampiran bagi membolehkan siasatan dijalankan.

MBPP turut menasihatkan penghuni enam rumah berhampiran supaya berpindah sementara atas faktor keselamatan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mooi Lye memaklumkan penghuni empat rumah yang terletak berhampiran kawasan kejadian masih belum dibenarkan kembali ke kediaman masing-masing.

Menurutnya, arahan tersebut akan kekal berkuat kuasa sehingga JKKP Pulau Pinang memberikan kelulusan untuk membolehkan kerja mitigasi dan pembaikan cerun dilaksanakan.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan jumlah keseluruhan penghuni yang terjejas di empat rumah terbabit.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri akan memutuskan sama ada perlu menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Negeri (SCI) berhubung kejadian tersebut selepas JKKP melengkapkan siasatan serta mengemukakan dapatan dan syor mereka.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!