Anggota Maritim maut: KDN beri perhatian pencen, kenaikan pangkat Mohd Roshaimi

KUALA NERANG - Urusan pencen terbitan dan kenaikan pangkat secara anumerta Allahyarham Laskar Kanan Teknikal Maritim Mohd Roshaimi Mohd Ridzuan, 41, anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang terkorban ketika bertugas di Kuala Perlis diberi perhatian Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail semasa menziarahi keluarga Allahyarham di Kuala Nerang pada Ahad sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan waris wira Maritim negara.
Menurutnya, beliau berharap segala urusan berkaitan perkara itu diberikan perhatian sewajarnya serta disegerakan bagi memastikan kebajikan keluarga Allahyarham terpelihara.
“Allahyarham meninggal dunia ketika sedang menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan negara. Satu pengorbanan yang cukup besar dan pastinya tidak akan kita lupakan.
“Saya telah beri jaminan kepada keluarga bahawa segala urusan pencen, kebajikan dan apa sahaja bantuan yang sewajarnya akan kita bantu dan percepatkan,” katanya yang dipetik melalui Facebook rasminya pada Isnin.
Lawatan itu turut disertai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd Zawawi Abdullah.
Pada penghujung Oktober lalu, Allahyarham Mohd Roshaimi yang bertugas di Unit Perisikan Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kedah/Perlis meninggal dunia dalam insiden kemalangan bot ketika operasi pemantauan dan kawalan sempadan di perairan Kuala Sungai Padang pada penghujung Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, bot dinaiki anggota Maritim Malaysia terlanggar bongkah konkrit ketika mengejar suspek pendatang asing tanpa izin (PATI) menyebabkan Allahyarham maut manakala tiga anggota lain tercampak keluar dan mengalami kecederaan.
Meskipun cedera, dua anggota yang masih berada di dalam bot meneruskan usaha mengejar suspek sehingga kesemua mereka berjaya ditahan.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua cahaya mata masing-masing berusia 14 dan 11 tahun.
Dalam kunjungan berkenaan, Saifuddin Nasution turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham sebagai tanda keprihatinan bagi membantu meringankan beban yang ditanggung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

