Covid-19: Kluster pasar borong dibawa ke mesyuarat

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes jangkitan koronavirus (Covid-19) di tiga pasar berbeza di negara ini disebabkan pengambilan bekalan barangan di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang dijangka akan dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) esok.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau telah memaklumkan tentang kes itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"KKM pun sebenarnya tahu perkara ini dan saya percaya mungkin esok KKM akan rujuk perkara ini dalam Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan PKP," katanya pada sidang media harian PKP di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan peniaga di tiga pasar berbeza termasuk Pasar Awam Bahau di Negeri Sembilan dan pasar pagi Taman Megah, Petaling Jaya dijangkiti Covid-19 kerana dipercayai mengambil bekalan di Pasar Borong Kuala Lumpur yang menjadi kluster jangkitan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pemantauan yang dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) semalam mendapati bekalan barangan keperluan secara keseluruhannya mencukupi, mudah diperoleh dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan.

"Oleh itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian sepanjang bulan Ramadan kerana ianya dijamin mencukupi.

"Pemantauan harian itu dilakukan KPDNHEP ke atas 25 jenis bekalan di 1,015 premis perniagaan termasuk 812 peruncit, (168) pemborong dan (35) pengilang," katanya.

Katanya, sehingga semalam juga, KPDNHEP menerima sejumlah 14,783 aduan dan pertanyaan melalui empat saluran utama iaitu aplikasi WhatsApp (6,229), Sistem E-Aduan (5,155) talian Hotline (2,453) dan talian melalui Enforcement Command Centre (ECC) (946).

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, sebanyak 2,291 aduan harga dan bekalan telah direkodkan untuk tindakan bahagian penguat kuasa melalui sistem E-Aduan.

Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,845 aduan harga dan bekalan telah selesai dan 446 aduan masih dalam siasatan.