Dugaan Ramadan, 100 rumah rosak dilanda ribut

Menara telekomunikasi Masjid Al-Amaniah At-Taiyyibah, Kampung Seri Klebang turut tumbang dalam kejadian ribut itu.
Menara telekomunikasi Masjid Al-Amaniah At-Taiyyibah, Kampung Seri Klebang turut tumbang dalam kejadian ribut itu.
A
A
A

IPOH - Kira-kira 100 rumah terjejas teruk dalam kejadian ribut yang melanda beberapa kampung di sekitar Kampung Seri Klebang dan Kampung Chepor Dalam di sini petang tadi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 petang itu merosakkan bahagian atap rumah selain terdapat rumah yang ditimpa pokok.

Menurutnya, nilai anggaran kerugian yang dihadapi penduduk masih dalam siasatan dan kesemua mangsa telah membuat pendaftaran.

"Ini satu lagi dugaan yang melanda penduduk di sini ketika semua sedang berpuasa. Saya harap semua penduduk terlibat bersabar.

"Kerajaan negeri akan membantu apa yang boleh dan kita akan cari jalan untuk memberikan apa yang terbaik kepada mereka," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau keadaan ribut di Kampung Seri Klebang di sini hari ini.

Turut meninjau keadaan, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Kinta, Halizah Sipun dan Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta, Kapten Muhammed Ameen Salleh Mura.

Ahmad Faizal (duduk, dua dari kanan) ketika melawat mangsa ribut di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Klebang di sini yang turut disertai Asmuni.
Ahmad Faizal (duduk, dua dari kanan) ketika melawat mangsa ribut di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Klebang di sini yang turut disertai Asmuni.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, setakat ini dua keluarga memohon untuk dipindahkan sementara kerana keadaan rumah yang tidak boleh diduduki, namun semua keluarga tersebut akan ditempatkan sementara di inap desa berhampiran.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tambun menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) pemindahan mangsa bencana sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan dengan mengambil kira keperluan kesihatan dan penjarakan sosial.

"SOP sama digunakan seperti sebelum ini cuma diperketatkan lagi dalam tempoh PKP," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Asmuni Awi yang turut meninjau lokasi kejadian berkata, pihaknya akan menyediakan bungkusan makanan sahur kepada mangsa ribut.

Antara rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda beberapa kampung sekitar Kampung Seri Klebang hari ini. FOTO APM DAERAH KINTA
Antara rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda beberapa kampung sekitar Kampung Seri Klebang hari ini. FOTO APM DAERAH KINTA

"Bungkusan makanan akan diedarkan di rumah-rumah mangsa terlibat dan di pusat pemindahan yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, kejadian ribut tersebut turut menyebabkan menara Masjid Al-Amaniah At-Taiyyibah, Kampung Seri Klebang tumbang menimpa beberapa unit inap desa milik masjid berkenaan.

Pengerusi MPKK Chepor Dalam Seri Kelebang, Ahmad Shafiq Ahmad Ariffin berkata, dianggarkan masjid tersebut mengalami kerugian lebih RM50,000.

Antara rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda beberapa kampung sekitar Kampung Seri Klebang hari ini. FOTO APM DAERAH KINTA
Antara rumah yang mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda beberapa kampung sekitar Kampung Seri Klebang hari ini. FOTO APM DAERAH KINTA

Katanya, ribut tersebut turut menyebabkan kerosakan pada bahagian atap rumahnya.

Beberapa agensi seperti Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kinta, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan beberapa agensi lain turut membantu mangsa yang terlibat.