39 rumah rosak dilanda ribut di Bukit Payong

Keadaan rumah penduduk yang dilanda ribut.
Keadaan rumah penduduk yang dilanda ribut.
A
A
A

MARANG - Sebanyak 39 rumah dan premis kedai di sekitar kawasan Bukit Payong, di sini rosak selepas dilanda ribut pada petang Rabu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang itu menyebabkan kebanyakan kediaman dan premis mengalami kerosakan pada bahagian bumbung akibat diterbangkan angin kencang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, setakat ini sembilan kampung di sekitar Bukit Payong dilaporkan terjejas dalam kejadian tersebut.

Menurutnya, antara kawasan itu adalah Kampung Surau Haji Mat Zin, Kampung Padang Tanjung, Kampung Surau Haji Yaakob, pekan Bukit Payong, Kampung Pak Su Man dan Kampung Batu 9.

"Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) telah meminta semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mengambil tindakan segera membaiki semua kerosakan rumah tersebut bermula pagi ini hingga selesai.

Bumbung rumah penduduk yang tercabut selepas dilanda ribut pada Rabu.
Bumbung rumah penduduk yang tercabut selepas dilanda ribut pada Rabu.

"Oleh itu, jika masih ada penduduk yang terjejas namun belum melaporkan kepada JPKK, kita harap dapat berbuat demikian segera supaya tindakan lanjut dapat ambil," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Mohd Nor berkata, selain rumah dan premis perniagaan, beberapa khemah dan persiapan untuk program anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, TDM Berhad bersama masyarakat Marang yang bakal berlangsung pada Khamis di dataran Masjid Padang Mengkuang turut terjejas dibadai ribut.

Bagaimanapun katanya, petugas dan penduduk setempat telah mengambil tindakan pantas membaik pulih kerosakan bagi memastikan program dapat berlangsung sebagaimana dirancang.

"Bantuan segera akan disalurkan bagi meringankan beban dan keselesaan penduduk yang terlibat, nilai kerugian akibat kerosakan pula masih belum dapat dipastikan," katanya.