Tenggara Bangladesh terjejas teruk akibat Siklon Mocha

Keadaan semasa taufan Mocha melanda di Shahpori Dwip, kawasan Teknuf berhampiran Cox's Bazar, Bangladesh pada Ahad. - Foto EPA/STR
Keadaan semasa taufan Mocha melanda di Shahpori Dwip, kawasan Teknuf berhampiran Cox's Bazar, Bangladesh pada Ahad. - Foto EPA/STR
A
A
A

DHAKA - Siklon Mocha membadai Myanmar dan tenggara Bangladesh pada Ahad mengakibatkan kemusnahan kepada kediaman dan tanaman penduduk, lapor Xinhua.

Siklon membawa angin kencang sehingga 200 kilometer sejam mengakibatkan daerah Cox's Bazar, tenggara Bangladesh dan pulau luar pesisirnya terjejas teruk.

Timbalan pesuruhjaya dan majistret daerah Cox's Bazar, Shaheen Imran memberitahu Xinhua, siklon itu merosakkan rumah dan tanaman selain menumbangkan pokok.

"Sekurang-kurangnya 12,000 rumah musnah sepenuhnya atau sebahagiannya akibat siklon di Cox's Bazar,” katanya.

Beliau berkata, mereka sedang mengumpul maklumat melalui saluran rasmi dari kawasan terpencil yang terjejas mengenai kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Selain itu, ratusan tempat perlindungan sementara di daerah Cox's Bazar yang menempatkan hampir 1 juta pelarian Rohingya dari Myanmar turut rosak.

Bagaimanapun, kata pegawai itu, tiada laporan kematian akibat siklon dari kawasan terjejas.

Sementara itu, Menteri bagi Pengurusan Bencana dan Bantuan Bangladesh, Enamur Rahman memberitahu wartawan bahawa mereka telah mengambil langkah yang mencukupi untuk membantu penduduk yang terjejas, menyaksikan ratusan ribu orang telah dipindahkan.

Katanya, siklon dahsyat itu membadai di antara Cox's Bazar Bangladesh dan Sittwe Myanmar dengan membawa angin kencang sehingga 195 km sejam.

Mocha semakin melemah dan secara beransur-ansur berkurangan kepada tekanan rendah. - Bernama/ Xinhua