Rohingya: Jangan hilang kemanusiaan, bantu ikut batasan tertentu

Anwar Ibrahim ketika FB Live hari ini.
Anwar Ibrahim ketika FB Live hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan jangan hilang sifat kemanusiaan dalam isu pelarian etnik Rohingya ke negara ini sebaliknya bersikap terbuka menghulurkan bantuan perlindungan kepada mereka mengikut batasan tertentu.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha pemberian perlindungan kepada ribuan pelarian etnik Rohingya yang melarikan diri dari penindasan junta askar Myanmar bukan bermakna kerajaan memberi hak tidak sepatutnya kepada mereka.

Sebaliknya, Anwar menegaskan kerajaan dan rakyat negara ini boleh memberi perlindungan dalam batasan tertentu supaya mereka tidak mati tenggelam atau kelaparan hanya disebabkan kapal mereka diusir dari negara ini.

"Ramai mengatakan saya terlalu lunak dengan etnik Rohingya, namun mereka perlu mengetahui ada sebab pelarian itu terpaksa lari dari negara mereka untuk mengelakkan dari ditindas dan dibunuh beramai-ramai. Kita jangan hina mereka.

"Sementara saya faham kegelisahan rakyat (terhadap kehadiran mereka) tetapi soal kemanusiaan harus dilihat sebagai aspek utama dengan kita tidak boleh usir mereka begitu sahaja sehingga berlaku mati kelaparan atau tenggelam di laut," katanya pada sesi Facebook secara langsung di akaunnya petang tadi.

Anwar turut membidas segelintir pemimpin politik yang sebelum ini begitu lantang memperjuangkan nasib pelarian etnik Rohingya namun kini bersikap negatif terhadap mereka.

Menurutnya, kerajaan dan rakyat negara ini perlu mencontohi usaha Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang membantu hampir empat juta pelarian negara Syria yang lari ke sempadan namun menetapkan batasan tertentu bagi mengurangkan kebimbangan rakyatnya.

"Beliau juga menyuarakan perasaan marah dan lantang menegur negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang enggan menerima pelarian Syria kerana Turki juga mempunyai batasan tertentu untuk membantu pelarian terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Saya fikir kerajaan bersama ASEAN perlu melontarkan kritikan dan bantahan lebih keras kepada kerajaan Myanmar agar nasib pelarian etnik Rohingya dapat dibela untuk jangka masa panjang," katanya.