Bayi cukup sifat ditemui dalam plastik

Bayi perempuan cukup sifat ditemui di dalam plastik dan diletakkan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Susulat Sook, Keningau.
Bayi perempuan cukup sifat ditemui di dalam plastik dan diletakkan di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kampung Susulat Sook, Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Seorang bayi perempuan ditemui di dalam plastik di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Kampung Susulat Sook, di sini, pada Selasa lalu.

Bayi cukup sifat yang masih bertali pusat itu ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari oleh orang awam sebelum laporan polis dibuat.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.41 petang yang memaklumkan seorang bayi ditemui di kampung berkenaan.

"Bayi itu masih bertali pusat dan ditemui di belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda.

"Pengadu kemudian membawa bayi itu masuk ke dalam rumah sebelum dibawa ke Klinik Kesihatan Sook untuk mendapatkan rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Katanya lagi, bayi itu kemudian dirujuk ke Hospital Keningau dan kini dalam keadaan stabil.

"Bayi ini dipercayai dibuang namun siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Ho di talian 014-6304299," katanya.