Keupayaan ujian Covid-19 Malaysia meningkat 20,000 sehari

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kadar keupayaan bagi ujian koronavirus (Covid-19) yang dilaksanakan di negara ini akan meningkat sehingga 20,000 sehari bermula minggu depan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan keupayaan ujian tersebut berbanding 16,000 sehari sebelum ini boleh berlaku apabila sebanyak 200,000 kit ujian pengesanan antigen yang ditempah dari Korea Selatan tiba minggu depan.

Menurutnya, kit ujian pengesanan berkenaan sepatutnya tiba semalam namun mengalami kelewatan.

"Jumlah ujian sehari pada 24 April adalah sebanyak 14,997 jadi keupayaan untuk melaksanakan ujian menggunakan kaedah molekular diagnostik menerusi ujian real time polymerase chain reaction (RT-PCR) adalah 16,380 untuk setiap hari.

"Jadi kapasiti atau keupayaan untuk ujian kita telah dipertingkatkan. Kalau minggu depan kita dapat 200,000 lagi kit ujian dari Korea, ia akan meningkatkan lagi keupayaan ujian ke 20,000 sehari," katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Beliau berkata, dari segi pencapaian ujian saringan yang dilakukan di Malaysia setakat ini ia dilihat telah memadai.

"Dalam perbincangan kita dengan pasukan pakar perubatan negara China di Guangdong terdapat 110 juta penduduk dan saringan mereka ialah 30,000 sehari. Jadi kita dah capai 16,000 ujian sehari," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hasil ujian pengesanan kes positif Covid-19 yang dilaksanakan di negara ini juga lebih baik berbanding kadar yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Artikel Berkaitan:

"Sebagaimana dah disarankan WHO kalau kita laksanakan saringan untuk 10 kes tetapi ada lebih daripada satu kes positif, bermakna banyak lagi kes yang dikesan. Jadi sekurang-kurangnya kita kena kesan 10 peratus (positif).

"Tetapi kalau kita lihat dari segi pengesanan kita, kita telah melaksanakan saringan atau ujian sampel sebanyak 132,361 individu dan yang positif ialah 5,742 iaitu bersamaan dengan 4.34 peratus iaitu lebih baik daripada tanda aras yang telah ditetapkan oleh WHO," katanya.