PRN: PH, UMNO Pulau Pinang bermesyuarat minggu depan

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan bermesyuarat dengan UMNO negeri berhubung pengagihan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) pada minggu hadapan.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, PH negeri juga akan mengadakan mesyuarat berhubung perkara tersebut beberapa hari lagi yang dijangka dalam minggu ini.

"Kita telah terima permohonan daripada UMNO Pulau Pinang untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan tentang PRN termasuk pembahagian kerusi.

"Oleh itu, kita telah menetapkan mesyuarat bersama pemimpin UMNO Pulau Pinang pada minggu depan," katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di Komtar pada Khamis.

Menurutnya, mesyuarat tersebut hanya bersama pemimpin UMNO negeri dan tidak melibatkan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

"Ia tidak melibatkan parti komponen BN lain kerana kita hanya terima permohonan mesyuarat itu daripada UMNO Pulau Pinang," katanya.

PH Pulau Pinang masih belum membincangkan pembahagian kerusi dengan BN negeri walaupun PRN dijangka diadakan pada Julai.

Minggu lalu, Kon Yeow berkata, BN akan diberi peluang untuk mempertahankan dua kerusi penyandangnya di Pulau Pinang pada PRN kali ini.

Beliau berkata, keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif DAP pusat yang diadakan pada Rabu dua minggu lalu memutuskan bahawa semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang masing-masing.

Tambahnya, berdasarkan prinsip yang dipersetujui iaitu semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang, PH tidak akan meminta kerusi-kerusi berkenaan daripada UMNO atau BN.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN mempunyai dua kerusi manakala Pas memenangi satu kerusi iaitu Penaga.

Selepas Bersatu keluar daripada gabungan PH dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dipecat daripada parti dan kemudiannya menyertai PPBM, empat kerusi itu, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam jatuh di bawah Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, keempat-empat mereka telah diusir daripada Dewan Undangan Negeri pada Mac lalu selepas Dewan meluluskan usul untuk memaksa mereka mengosongkan kerusi mengikut undang-undang anti lompat parti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!