PH, UMNO Pulau Pinang mesyuarat kali kedua minggu depan

Kon Yeow
Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang akan bermesyuarat dengan UMNO negeri buat kali kedua berhubung pengagihan kerusi dan isu-isu berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, PH negeri akan mengadakan mesyuarat tersebut pada minggu hadapan.

"Kita masih belum tetapkan (tarikh) namun dalam masa terdekat.

"Kita pun tak ada masa lagi, mungkin minggu ini atau minggu depan," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Angkat Sumpah Penerimaan Jawatan Datuk Bandar MBPP 2023 di Dewan Bandaraya di sini pada Selasa.

Sebelum ini, PH dan UMNO Pulau Pinang mencapai persetujuan untuk tidak bertanding sesama sendiri pada PRN akan datang.

Ketetapan itu dicapai dalam pertemuan rasmi kali pertama yang diadakan antara dua gabungan parti itu di negeri ini pada 2 Mei lalu.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, beliau berharap agar pertemuan kali kedua ini dapat mencapai lebih banyak persetujuan.

"Harap pertemuan itu nanti dapat melangkau lebih dekat kepada persetujuan. Hasil mesyuarat yang pertama dan kedua (bakal diadakan) belum dibawa ke peringkat Pusat.

"Ini kerana, selagi peringkat negeri boleh selesaikan, kita selesaikan di peringkat negeri sahaja. Kita cuma laporkan pencapaian yang kita peroleh sahaja (kepada Pusat).

"Bagaimanapun, kita harap pertemuan dan perbincangan ini tidak lebih dua kali," tambah beliau.

Dua minggu lalu, Kon Yeow berkata, BN akan diberi peluang untuk mempertahankan dua kerusi penyandangnya di Pulau Pinang pada PRN ini.

Kata beliau, keputusan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat yang diadakan pada Rabu dua minggu lalu memutuskan bahawa semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang masing-masing.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu menambah, berdasarkan prinsip yang dipersetujui iaitu semua kerusi akan kembali kepada parti penyandang, PH tidak akan meminta kerusi-kerusi berkenaan daripada UMNO atau BN.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN mempunyai dua kerusi manakala Pas memenangi satu kerusi iaitu Penaga.

Selepas Bersatu keluar daripada gabungan PH dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dipecat daripada parti dan kemudiannya menyertai PPBM, empat kerusi itu, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam jatuh di bawah Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, keempat-empat mereka telah diusir daripada Dewan Undangan Negeri pada Mac lalu selepas Dewan meluluskan usul untuk memaksa mereka mengosongkan kerusi mengikut undang-undang antilompat parti.

Ends.