Pengerusi RISDA pandu van jenazah ibu sahabat, rakan baik terharu

Manndzri (kiri) ditemani Muhammad Naqib membawa van jenazah membawa ibu sahabat mereka.
Manndzri (kiri) ditemani Muhammad Naqib membawa van jenazah membawa ibu sahabat mereka.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Manndzri Nasib memandu sendiri van jenazah membawa pulang jenazah ibu sahabatnya dari Hospital Serdang ke Kampung Ayer Manis, Kulai, Johor.

Tindakan Ahli Parlimen Tenggara itu dilakukan bagi menunaikan janji kepada sahabatnya, Hairulanuar Ali Hanapiah yang kehilangan ibunya, Rubiah Suandi, 72, ketika dalam penerbangan pulang dari Madinah ke Malaysia selepas menunaikan umrah, pada Isnin.

Hairulanuar berkata, Manndzri sendiri menawarkan diri untuk memandu van jenazah berkenaan selepas mengetahui hasrat keluarga membawa pulang jenazah ibunya ke kampung halaman.

Menurutnya, beliau dan adik-beradik lain menaiki van berkenaan bersama seorang lagi sahabat mereka, manakala Manndzri mengambil tempat sebagai pemandu.

“Dia sendiri yang berjanji dan mengajak kami membawa mak pulang ke kampung. Dia kata biar dia yang bawa, manakala saya dan adik-beradik lain duduk di belakang.

“Saya sangat terharu kerana sebagai seorang ketua dan sahabat, beliau melaksanakan sendiri apa yang dijanjikan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan perjalanan pulang sebuah keluarga dari Madinah ke Kuala Lumpur selepas menunaikan umrah berakhir dengan suasana hiba apabila ibu mereka menghembuskan nafas terakhir ketika berada dalam pesawat pada Isnin.

Lebih memilukan, Rubiah meninggal dunia dalam tidur kira-kira empat jam sebelum pesawat yang dinaiki bersama ahli keluarganya dari Madinah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Hairulanuar memberitahu, van jenazah berkenaan merupakan sumbangan Yayasan Risda kepada Masjid Darun Nadwah, Felda Pengeli Timur, Tenggara pada tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perjalanan dari Hospital Serdang ke Masjid Al-Firdausi, Kampung Ayer Manis mengambil masa kira-kira dua jam sebelum jenazah dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu 32 untuk dikebumikan.

“Alhamdulillah sangat, semua urusan dipermudahkan. Selepas itu, YB sampai di masjid, beliau turut menemani saya dalam van jenazah pula.

"Seorang lagi sahabat kami, seorang lagi sahabat kami, Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Muhammad Naqib Md Ghazali turut bersama untuk menghantar bonda ke tanah perkuburan. Jadi, kami bertiga bersama-sama menghantar bonda ke kubur," katanya.

Hairulanuar berkata, dia dan Manndzri sudah mengenali antara satu sama lain sejak menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM), kira-kira 20 tahun lalu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mendoakan kesejahteraan Allahyarham dan memberikan sokongan kepada keluarga sepanjang melalui detik sukar itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!