'Suami ada simpanan yang cukup untuk langsai hutang, tapi semua dibekukan'

SHAH ALAM - Isteri kepada Pegawai Bomba Kanan, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa yang dilaporkan hilang di Nepal sejak Ogos lalu merayu kerajaan mempercepatkan proses pengesahan dan pengeluaran sijil anggapan kematian bagi membolehkan segala urusan tertangguh termasuk penyelesaian hutang suaminya diselesaikan segera.
Hani Othman, 40, berkata, ketiadaan dokumen berkenaan menyebabkan segala urusan berkaitan perundangan, perbankan dan takaful suaminya masih belum dapat dilakukan, sekali gus memberi tekanan kewangan kepada keluarga.
Menurut Hani, suaminya mempunyai simpanan dan perlindungan takaful yang mencukupi untuk melangsaikan segala hutang serta komitmen kewangan, namun aset berkenaan masih dibekukan sementara menunggu sijil berkenaan.
"Saya sendiri meminta supaya urusan komitmen ini didahulukan menggunakan wang saya terlebih dahulu supaya lebih mudah untuk saya merekod dan menolak jumlah berkenaan secara teratur daripada simpanan bank atau pampasan takaful suami sebaik sahaja segala aset beliau dapat diakses nanti.
"Saya merayu dan memohon kerjasama penuh daripada pihak kerajaan khususnya Kementerian Luar Negeri (KLN), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membantu mempercepatkan serta mempermudahkan proses pengesahan dan pengeluaran dokumen anggapan kematian ini agar segala urusan yang tertangguh dapat diselesaikan segera," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Mohd Fakhrul Munir, 44, atau lebih mesra dipanggil Loe, dilaporkan hilang ketika berada di Nepal susulan kejadian banjir dahsyat di negara itu pada 26 Ogos lalu.
Turut dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan ialah Timbalan Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Mohd Sani Harul.
Berdasarkan laporan terkini Kementerian Luar Negeri, seramai 54 rakyat Malaysia masih dilaporkan hilang dan belum dapat dihubungi susulan kejadian banjir kilat serta tanah runtuh di kawasan Rasuwagadhi, Rasuwa berhampiran sempadan Nepal-Tibet.
Dalam pada itu, Hani turut menafikan dakwaan segelintir pihak yang menuding jari dan menyalahkan keluarga mentuanya berhubung isu kewangan serta komitmen hutang suaminya.
Sebaliknya, dia menjelaskan ibu mentua dan adik-beradik iparnya sudah menawarkan bantuan sejak hari pertama kejadian, termasuk bertanyakan jumlah hutang serta komitmen yang perlu diselesaikan.
Bagaimanapun, Hani berkata, dia sendiri memilih untuk mendahulukan pembayaran menggunakan wang sendiri bagi memudahkan urusan rekod kewangan apabila simpanan dan pampasan takaful suaminya dapat diakses kelak.
"Bila terbaca komen-komen netizen yang mula menuding jari dan menyalahkan adik-beradik suami saya dalam isu kewangan ini, jujur saya rasa sangat terkilan dan marah.
"Jangan mudah menjatuhkan hukum atau membuat andaian tanpa tahu situasi sebenar. Tolong jangan keruhkan keadaan dengan melemparkan tuduhan bukan-bukan kepada keluarga kami," katanya.
Menurutnya, isu utama yang dihadapi keluarga ketika ini bukanlah kegagalan ahli keluarga membantu, sebaliknya kekangan dokumentasi yang menyebabkan segala urusan berkaitan suaminya masih tergendala.
Hani sebelum ini, turut berkongsi di platform sama mendakwa tertekan diganggu serta diugut pihak yang menagih hutang suaminya.
Menurut wanita berkenaan, dia mula menerima panggilan telefon daripada syarikat platform e-dagang memaklumkan suaminya mempunyai hutang pada Oktober lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

