Setia menulis hingga akhir hayat

SHAH ALAM – Pemergian seorang warga emas berusia 100 tahun pada 16 November lalu bukan sahaja meninggalkan kenangan buat keluarga, malah 14 buku diari yang merakam perjalanan hidup sejak zaman muda hingga ke akhir hayat menjadi sejarah buat generasinya.
Warga emas itu, Allahyarham Yah Yatim yang mempunyai minat mendalam terhadap penulisan dipercayai mula mencatat pengalaman hidup ketika berusia sekitar 25 tahun, termasuk kisah peperangan, sejarah keluarga dan asal usul kampung halamannya.
Salah seorang anaknya, Noor Hashimah Abdullah, 56, berkata, antara kisah yang dicatatkan oleh arwah ialah pengalaman melihat sesuatu yang aneh di langit ketika zaman kanak-kanak sebelum berlari dan bersembunyi di celah semak kerana terlalu takut.

“Dalam diari itu, ibu ada cerita dia pernah nampak sesuatu yang pelik di langit. Masa itu dia tak tahu benda apa, cuma nampak macam ada sayap, berkepala tetapi tak ada kaki. Sebab takut, ibu terus lari dan sembunyi dalam semak.
“Bila dah besar, baru ibu tahu rupa-rupanya benda yang dia nampak itu kapal terbang tentera Jepun. Memang suasana masa itu sangat menakutkan, ibu cerita macam dunia nak kiamat,” kata anak ketujuh daripada lapan beradik itu kepada Sinar Harian pada Isnin.
Seperti yang diceritakan dalam diari tersebut, Noor Hashimah menjelaskan, ketika peperangan semakin memuncak, penduduk kampung yang diketuai penghulu mereka bermesyuarat sebelum sepakat membina kubu perlindungan secara bergotong-royong.
Noor Hashimah berkata, penduduk kampung ketika itu berpakat membina kubu perlindungan kerana keadaan semakin berbahaya dengan semua penduduk bergotong-royong menggali tanah serta menyediakan lantai dan atap.
“Mereka mula buat waktu subuh, petang dalam jam 4 dah siap. Sepanjang tiga hari tiga malam peperangan itu, orang kampung duduk dalam kubu. Memang ada yang menangis sebab masing-masing takut dan tak tahu apa akan jadi,” katanya.
Wanita yang berasal dari Ketereh, Kelantan itu berkata, arwah ibunya memang meminati penulisan sejak muda dan pernah menjadi pelajar terbaik di sekolah atap pada zaman sebelum merdeka.
Minat terhadap ilmu juga mendorong arwah bercita-cita melanjutkan pengajian ke Universiti Malaya dan menjadi pensyarah, namun hasrat tersebut tidak kesampaian selepas berkahwin pada usia remaja.
“Tapi walaupun tak dapat jadi pensyarah, ibu tak pernah berhenti belajar. Kalau ada masa, memang dia akan membaca. Akhbar, majalah, buku sejarah, semuanya dia baca,” katanya.
Lebih istimewa, buku diari berkenaan diwariskan kepada anak bongsu Noor Hashimah yang berusia 15 tahun kerana mereka berkongsi minat sama dan sering membaca diari hasil penulisan neneknya.
Ibu kepada lima orang anak itu berharap catatan yang ditinggalkan ibunya dapat terus dipelihara sebagai warisan keluarga, selain menjadi sumber pengetahuan kepada generasi muda mengenai kehidupan dan pengalaman generasi terdahulu.
“Banyak cerita dalam diari yang kami sendiri belum sempat baca semuanya. Sebab itu saya harap diari ini dapat disimpan elok-elok. Sekurang-kurangnya anak cucu nanti boleh baca dan tahu bagaimana kehidupan orang dahulu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
