56 hotspot banjir, Selangor perlu nilai semula sistem saliran

Mohd Yahya
Mohd Yahya
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa menilai semula keberkesanan perancangan pembangunan, sistem saliran dan pelaksanaan projek tebatan banjir susulan kejadian banjir yang terus melanda beberapa kawasan di negeri itu.

Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor, sebanyak 56 lokasi dikenal pasti sebagai hotspot banjir, manakala 232 kawasan lagi berisiko dilanda bencana itu.

Beliau berkata, Klang mencatatkan jumlah hotspot tertinggi iaitu 13 lokasi, diikuti Petaling (11), Gombak (10) dan Hulu Langat (sembilan).

Menurutnya, beliau mengambil maklum peruntukan RM36.45 juta bagi pelaksanaan 47 projek tebatan banjir menerusi Belanjawan Selangor 2027.

Bagaimanapun, jelasnya, rakyat bukan sekadar mahu mendengar angka peruntukan, sebaliknya mahu melihat hasil dan penyelesaian yang benar-benar mampu mengurangkan risiko banjir.

"Persoalan besar yang perlu dijawab ialah, adakah sistem saliran Selangor berkembang seiring dengan kepesatan pembangunan negeri?

"Bangunan semakin tinggi, kawasan perumahan dan perindustrian semakin luas, tetapi peningkatan permukaan konkrit tanpa kapasiti saliran yang mencukupi akan meningkatkan tekanan terhadap sistem pengaliran air," katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian.

Mohd Yahya berkata, masalah banjir bukan sekadar berpunca daripada longkang tersumbat, sebaliknya membabitkan keseluruhan sistem saliran termasuk parit, pembetung, sungai, kolam takungan dan saluran keluar.

Menurutnya, usaha membesarkan longkang juga tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya parit utama tidak mempunyai kapasiti mencukupi untuk menampung aliran air.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri melaksanakan lima tindakan utama, termasuk mengaudit keseluruhan sistem saliran dari kawasan hulu hingga hilir bagi mengenal pasti kelemahan kapasiti dan laluan aliran air.

"Selain itu, kawalan pembangunan perlu diperketat dengan mewajibkan kajian impak saliran dan tadahan air, termasuk menilai kesan kumulatif pembangunan terhadap kawasan sekitar," tambahnya.

Beliau turut mencadangkan penyelenggaraan berkala longkang, parit, pembetung dan sungai diperkukuh, selain mempercepat pelaksanaan projek tebatan banjir di semua hotspot dengan sasaran pelaksanaan serta keberkesanan yang boleh diukur.

Menurutnya, penggunaan teknologi pintar seperti sensor paras air, pintu kawalan automatik, stesen pam dan sistem amaran awal juga perlu dimanfaatkan.

Dalam pada itu, Mohd Yahya menggesa Kerajaan Negeri menerbitkan status kemajuan projek tebatan banjir secara terbuka, termasuk maklumat peruntukan, tempoh siap dan keberkesanannya selepas pelaksanaan.

"Kita menyokong pembangunan Selangor, tetapi pembangunan tidak boleh mengorbankan keselamatan rakyat. Setiap peruntukan mesti menghasilkan penyelesaian, bukan sekadar pengumuman.

"Ukuran kemajuan negeri bukan hanya pada ketinggian bangunan dan nilai pelaburan, tetapi juga kemampuan melindungi rakyat daripada ancaman banjir," katanya.

Beliau menegaskan, Selangor bukan sahaja perlu membina bandar yang pesat membangun, tetapi turut memastikan sistem saliran yang berdaya tahan demi keselamatan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!