'Ini kali pertama saya redah banjir' - Penuntut cemas laluan kampus ditenggelami air

Sebahagian penuntut meredah laluan yang ditenggelami air untuk pulang ke asrama masing-masing.
Sebahagian penuntut meredah laluan yang ditenggelami air untuk pulang ke asrama masing-masing.
A
A
A

​KUALA NERUS – Hujan lebat berterusan selama sejam dengan taburan mencecah 76.5 milimeter (mm) mengakibatkan beberapa laluan utama serta kawasan parkir di kampus Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini ditenggelami air sejak petang Isnin.

​Kejadian banjir kilat luar jangka itu bukan sahaja menjejaskan kelancaran pergerakan di dalam kampus, malah mencetuskan rasa cemas dalam kalangan penuntut yang baru selesai menghadiri kuliah.

​Penuntut Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam, Nurul Naziera Abdul Hafiz, 22, berkata, hujan lebat dalam tempoh singkat itu menyebabkan laluan utama yang sering digunakan untuk pulang ke asrama ditenggelami air dengan cepat.

​Katanya, dia langsung tidak menjangka situasi tersebut berlaku memandangkan sesi perbincangan berkumpulan bersama rakan-rakannya berjalan seperti biasa sebelum itu.

​"Memang agak cemas kerana ini kali pertama saya terpaksa meredah banjir selepas tamat kelas. Sebelum ini, jika hujan lebat saya masih sempat pulang sebelum air mula naik.

​"Tapi, sebaik sahaja selesai perbincangan, laluan berkenaan sudah dinaiki air. Syukur keadaan tidak begitu buruk dan kami semua selamat tiba di asrama masing-masing," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Isnin.

Keadaan beberapa laluan di dalam kampus ditenggelami air susulan hujan lebat dengan taburan 76.5 mm dalam tempoh sejam pada Isnin.
Keadaan beberapa laluan di dalam kampus ditenggelami air susulan hujan lebat dengan taburan 76.5 mm dalam tempoh sejam pada Isnin.

Seorang lagi penuntut, Nur Ain Umairah Mat Nasir, 22, berkata, limpahan air hujan tersebut turut menenggelamkan kawasan parkir kenderaan sehingga memaksa dia dan rakan-rakan bergegas menyelamatkan motosikal masing-masing.

​"Sebaik keluar dari bangunan kuliah, kami lihat kawasan sekitar parkir sudah mula ditenggelami air dan masing-masing sibuk menyelamatkan kenderaan.

​"Keadaan agak mencabar kerana terpaksa menunggang motosikal meredah jalan yang banjir. Walaupun paras air tidak terlalu tinggi, motosikal boleh menjadi tidak stabil apabila melalui kawasan berair," katanya.

Sementara itu, Nur Kamilah Che Mat, 22, mengakui turut terkejut melihat beberapa kawasan di sekitar kampus dinaiki air susulan hujan lebat yang melanda petang tadi.

​Ujarnya, keadaan itu mengundang rasa bimbang terutama kepada golongan penuntut yang perlu menggunakan laluan terjejas untuk kembali ke kolej kediaman masing-masing.

​"Buat masa ini hujan sudah mula berhenti, saya harap banjir kilat ini cepat surut dan tidak berlarutan sehingga esok," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!